Mohd Rafi Mamat


LIMA kali dikenakan tindakan sebelum ini, namun tetap terus ulangi aktiviti menghasilkan kayu bergergaji menggunakan kilang papan haram di Kampung Sungai Bayas Jalan Sungai Lembing, dekat Kuantan.

Pada serbuan kira-kira 9 pagi semalam, anggota penguatkuasa Zon Pahang Timur Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mendapati kilang papan berkenaan sekali lagi beroperasi secara haram.

Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasa Zon Pahang Timur Muhammad Firdaus Abdul Kadir@Yusof berkata, siasatan pihaknya juga mendapati balak yang diproses adalah kayu curi sebelum dipindahkan ke kilang terbabit.

Menurutnya, tindakan tegas diambil dengan menyita tiga jentera penyanggah balak (Kiap), tiga unit mesin memotong papan (Crosscut) dan lima unit mesin gergaji membelah kayu (Bandsaw).

Katanya, turut disita 40 balak pelbagai saiz spesies meranti, keruing dan balau bernilai lebih RM20,000 yang disorok di belakang rumah kongsi pekerja dalam kawasan kilang terbabit.

“Kita turut menyita beberapa ikat besar kayu bergergaji pelbagai saiz dan spesies yang sedia untuk dipindahkan bernilai lebih RM32,000 yang ditempatkan di dua tempat berasingan dalam kilang papan terbabit.

“Kali terakhir serbuan dilakukan ke atas kilang terbabit akhir bulan lalu ketika Operasi Bersepadu Ops Kilang selama lima hari, ketika itu mereka seolah tidak melakukan sebarang aktiviti,” katanya, di Kuantan semalam.

ANGGOTA penguatkuasa Zon Pahang Timur, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengadakan operasi menyita kilang papan yang beroperasi secara haram  di Kampung Sungai Bayas Jalan Sungai Lembing. FOTO Mohd Rafi Mamat
ANGGOTA penguatkuasa Zon Pahang Timur, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengadakan operasi menyita kilang papan yang beroperasi secara haram di Kampung Sungai Bayas Jalan Sungai Lembing. FOTO Mohd Rafi Mamat

Beliau berkata, pemilik kilang papan terbabit dilihat begitu degil dan cuba mencabar undang-undang, mereka tidak pernah serik walaupun sudah beberapa kali dikenakan denda.

Muhammad Firdaus berkata, selain terbabit dengan aktiviti menyediakan kayu bergergaji, kilang berkenaan sebelum ini turut terbabit dengan kegiatan mencuri dan menerima balak curi.

Katanya, pihaknya turut akan menyiasat bekalan balak curi yang diterima kilang berkenaan bagi mengesan pembekal atau individu terbabit serta lokasi hutan tempat mereka mengambilnya.

Menurutnya, hanya tindakan tegas sahaja dapat menjadi pengajaran pada individu yang terbabit menjalankan aktiviti kilang papan tanpa lesen dan menerima balak curi, mereka seolah tidak pernah serik dan cuba mencabar undang-undang.

“Semua jentera yang disita ditempatkan di Pusat Penyimpanan Barangan Rampasan JPNP di Kemasul, Mentakab sebelum tindakan selanjutnya dilakukan.

“Individu yang terbabit akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara (APN) 1984, selepas ini pemantauan akan terus dilakukan bagi memastikan kilang terbabit tidak lagi beroperasi,” katanya yang akan memastikan pemilik kilang haram terbabit dikenakan tindakan tegas dan menjadi pengajaran kepada pihak lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 10:22 AM