PEGAWAI Hutan Kanan, Mohd Yusof Othman memeriksa lori yang membawa muatan balak jenis keruing yang ditahan selepas disyaki dicuri dari Hutan Simpan Ibam  di Jalan FELDA Palong 5, Negeri Sembilan. FOTO Mohd Rafi Mamat
PEGAWAI Hutan Kanan, Mohd Yusof Othman memeriksa lori yang membawa muatan balak jenis keruing yang ditahan selepas disyaki dicuri dari Hutan Simpan Ibam di Jalan FELDA Palong 5, Negeri Sembilan. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


TAKUT disamun penjenayah alasan diberikan pemandu lori membawa muatan tujuh balak spesies keruing yang dicuri bernilai lebih RM12,000 apabila meneruskan perjalanan walaupun arahan berhenti diberikan di Jalan Muadzam Shah-Bahau, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Dalam kejadian 7 pagi itu, bahagian Penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) terpaksa mengejar lori terbabit sejauh kira-kira 40 kilometer sebelum berhenti di tepi jalan dekat FELDA Palong 5, Negeri Sembilan.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, pihaknya terpaksa mendapatkan bantuan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Palong dan Unit Penguatkuasa Pahang Timur Jabatan Perhutanan Negeri Pahang bagi mengejar lori terbabit.

Katanya, hasil siasatan dilakukan mendapati pemandu serta pembantunya berusia 43 dan 30 tahun cuba memindahkan balak yang dicuri di Hutan Simpan Ibam ke negara jiran. Maklumat yang diterima mendapati aktiviti menebang kayu terbabit dilakukan waktu malam.

Menurutnya, hasil penahanan dan soal siasat terhadap dua individu terbabit menemukan tujuh lagi balak spesies sama bernilai RM8,900 dalam kawasan Hutan Simpan Ibam dipercayai akan dipindahkan secara berperingkat.

“Dua individu terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara (APN) 1984, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM500,000 atau penjara 20 tahun atau keduanya sekali.

“Semua bukti dan kertas pertuduhan kini sedang disediakan pegawai penyiasat bagi tindakan seterusnya,” katanya, di Rompin, hari ini.

Beliau berkata, kegiatan menceroboh Hutan Simpan Ibam bagi mendapatkan balak bernilai tinggi dipercayai dilakukan sindiket yang berpengalaman dianggotai empat hingga enam individu.

Mohd Hizamri berkata, pihaknya memandang serius kegiatan mencuri balak dan hasil hutan lain, pelbagai usaha dilakukan bagi melumpuhkan aktiviti yang menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri.

Katanya, sokongan dan kerjasama masyarakat setempat termasuk Orang Asli amat diperlukan, maklumat yang diberikan dapat menyekat kegiatan berkenaan daripada terus berlaku.

“Pemantauan secara berterusan di beberapa kawasan hutan simpan di negeri ini akan terus dilakukan, aktiviti rondaan dan sekatan jalan raya dengan kerjasama agensi penguatkuasa turut dibuat apabila diperlukan.

“Saya yakin kerjasama semua pihak dan kesungguhan dilakukan bahagian penguatkuasa daerah dan negeri kegiatan mencuri balak dapat dilumpuhkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 11:05 AM