KAMBING Boer yang dibawa masuk dari Thailand dianggarkan bernilai RM192,000 berjaya dirampas oleh anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA 7) di sebuah stesen minyak di Chabang Empat dan dipercayai untuk pasaran di Selangor. FOTO Ihsan PGA
KAMBING Boer yang dibawa masuk dari Thailand dianggarkan bernilai RM192,000 berjaya dirampas oleh anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA 7) di sebuah stesen minyak di Chabang Empat dan dipercayai untuk pasaran di Selangor. FOTO Ihsan PGA
Siti Rohana Idris


MEMBAWA kambing menyeberangi Sungai Golok dalam kuantiti sedikit demi sedikit dengan menggunakan perahu sebelum diletakkan di kandang sementara menunggu jumlah dikehendaki mencukupi untuk dibawa kepada pembeli.

Modus operandi itu digunakan penyeludup kambing jantan jenis Boer sebelum sebuah lori yang memuatkan 160 ekor ternakan itu ditahan oleh anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA 7) di stesen minyak di Chabang Empat, Tumpat, 5 petang semalam.

Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Azhari Nusi berkata, kambing Boer yang dibawa masuk dari Thailand itu dianggarkan bernilai RM192,000 dan dipercayai untuk pasaran di Selangor.

Beliau berkata, taktik menyeludup kambing sedikit demi sedikit adalah bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan memperdaya seolah-olah haiwan itu adalah untuk ternakan.

“Ketika anggota sedang menjalankan rondaan, mereka ternampak sebuah lori Hicom yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di stesen minyak di Chabang Empat.

“Sebaik memperkenalkan diri, anggota meminta mereka mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit yang berkaitan.

“Dokumen atau permit perjalanan yang dikemukakan didapati meragukan dan dipercayai digunakan untuk beberapa perjalanan tidak sah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kambing itu diseludup masuk menerusi pangkalan haram di sekitar Pengkalan Kubor dalam kuantiti yang sedikit dan disimpan di kandang di Kubang Panjang sebelum dipindahkan sebaik mencapai kuantiti yang diinginkan.

Menurutnya, semua rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan manakala dua lelaki itu dibawa ke Balai Polis Chabang Empat untuk tindakan lanjut.

“Kesemua nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM272,000 termasuk kenderaan.

“Dua individu itu boleh ditahan atas kesalahan mengikut Sub Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 36(7) akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih dari RM15,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 2:19 PM