MOHD Faiz (kiri) bersama kambing baka boer dipanggil Watson. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
MOHD Faiz (kiri) bersama kambing baka boer dipanggil Watson. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Pelaburan seorang pemuda membeli kambing baka boer berharga RM29,000 berbaloi apabila kambing baka itu menjadi johan dua kategori pada Pertandingan dan Pameran Kambing Baka 2022.

Kambing baka yang dibeli pada Disember 2019 dari Australia itu memenangi tempat pertama kategori kambing boer senior dan kategori kambing paling berat.

Ternakan yang dipanggil Watson berusia dua tahun itu seberat 120 kilogram sekali gus menjadi juara kambing terberat mengenepikan 120 kambing baka lain.

Mohd Faiz Azmi Mohamad, 33, dari Kampung Telaga Papan, Semerak, Pasir Putih berkata, kambingnya pertama kali menyertai pertandingan kambing baka.

"Saya berasa gembira apabila Watson terpilih sebagai kambing baka boer terbaik selain kambing paling berat.

"Sehingga kini sudah ramai yang berhajat untuk membeli Watson tetapi saya tidak bercadang untuk menjualnya.

"Paling tinggi, ada peminat kambing boer menawarkan harga RM45,000 untuk membeli Watson namun saya tetap tidak bersedia menjualnya," katanya.

Tambahnya, dia berasa berbaloi datang dari Kelantan semata-mata menyertai pertandingan kambing baka itu.

"Kemenangan Watson membuktikan ia memang berkualiti tinggi dan wajar dijadikan pembaka utama di kandang.

"Saya nak membiak baka boer itu terlebih dahulu sebelum merancang untuk menjualnya pada masa akan datang.

"Bukan senang untuk mendapatkan kambing baka boer sebesar itu dan jika dijual sekarang belum tentu akan menemui kambing baka boer seperti itu," katanya.

Menurutnya, penternakan kambing boer itu tidak merugikan kerana ia sentiasa mendapat permintaan yang tinggi.

"Kambing itu cepat membiak selain boleh dijual pada harga yang tinggi seterusnya memberi pulangan yang lumayan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 11:04 AM