SEBAHAGIAN daripada 235 lembu yang diseludup masuk dari negara jiran hasil tiga serbuan sejak Jumaat hingga semalam. FOTO Fathil Asri.
SEBAHAGIAN daripada 235 lembu yang diseludup masuk dari negara jiran hasil tiga serbuan sejak Jumaat hingga semalam. FOTO Fathil Asri.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


PIHAK berkuasa mengesan kegiatan penyeludupan lembu dan kambing menggunakan Sungai Golok dipercayai bagi memenuhi pasaran tempatan sempena Aidilfitri ini.

Malah, ternakan itu akan dibawa ‘berenang’ menyeberangi sungai di kawasan cetek antara Pos Mek Gombak dan Pos Ular selain berhampiran lokasi perkampungan terpencil untuk menambat haiwan berkenaan.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 Polis Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu, Superintendan Ramly Poncho berkata, modus operandi itu dikesan susulan tangkapan 235 lembu, 46 kambing Boer dan 38 biri-biri, baru-baru ini.

Katanya, semua ternakan bernilai RM1.1 juta itu dirampas hasil tiga serbuan berasingan di sempadan iaitu dekat Pasir Mas, Pengkalan Kubor dan Rantau Panjang bermula Jumaat hingga 5.45 petang semalam.

RAMLY (kanan) dan Azam ketika meninjau rampasan ternakan yang diseludup masuk dari Sungai Golok. FOTO Fathil Asri.
RAMLY (kanan) dan Azam ketika meninjau rampasan ternakan yang diseludup masuk dari Sungai Golok. FOTO Fathil Asri.

“Penyeludup dipercayai sengaja memilih kawasan kampung terpencil atau pengkalan haram untuk menyeludup masuk ternakan ini dan turut dipercayai mengupah orang kampung berdekatan untuk bawa ternakan.

“Kita berjaya mengesan kegiatan mereka hasil risikan pasukan di Sungai Golok yang kemudian menahan lori di Tok Uban, Pasir Mas pada 4.34 pagi, Jumaat lalu membawa muatan 37 lembu. Namun pemandu sempat melarikan diri.

“Serbuan kedua dilakukan di Kampung Pulai, Pengkalan Kubor pada 5.08 petang, Sabtu lalu dan merampas 123 lembu di dalam sebuah kandang, manakala serbuan ketiga, semalam di Kampung Kubang Pak Hitam, Rantau Panjang,” katanya ketika ditemui di Kampung Kubang Pak Hitam di Rantau Panjang, hari ini.

Ramly berkata, dalam serbuan ketiga, pihaknya merampas 75 lembu, 46 kambing Boer serta 38 biri-biri dengan keseluruhan rampasan cecah RM1.1 juta berdasarkan nilai pasaran seekor lembu RM4,000, kambing Boer RM1,000 dan biri-biri RM700.

“Haiwan ternakan ini dipercayai diseludup untuk pasaran Kelantan dan negeri berdekatan termasuk di Perak untuk Aidilfitri ini.

“Rampasan kemudian diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan lanjut,” katanya yang memberitahu penyeludupan aktif antara 8 malam hingga 6 pagi.

Katanya, lembu akan ditambat pada bot untuk membolehkan berenang, manakala kambing dan biri-biri dibawa naik bot.

Susulan itu, katanya, pihaknya memperketatkan kawalan di sempadan Kelantan-Thailand dengan tumpuan di Pengkalan Ibrahim Pencen, Pos Mek Gombak dan Pos Ular.

Sementara itu, Ketua MAQIS Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, kes berkenaan dilaporkan kepada pihaknya dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 11 Akta MAQIS 2011 kerana mengimport tanpa permit sah dan boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara enam tahun, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 4:15 PM