FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Khairul Najib Asarulah Khan


KONDOMINIUM mewah antara lokasi pilihan bagi penganjuran pesta liar untuk mereka yang bawah umur bersosial.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, jika di pusat hiburan mereka sukar untuk melakukan kegiatan itu kerana ia secara terbuka selain anggota polis kerap menjalankan operasi.

Katanya, ia menyebabkan kondominium mewah dijadikan lokasi pilihan bagi kegiatan tidak bermoral itu selain untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Dengan itu, kita meminta setiap pemilik kondominium mewah yang memberi perkhidmatan sewa unit berkenaan memantau penyewa mereka.

“Jika meragukan mereka perlu salurkan maklumat pada polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Ini kerana ada pemilik ini memberi sewa harian, mingguan, bulanan atau tahunan tanpa mengetahui butiran lanjut mengenai penyewa berkenaan,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas program polis bersama masyarakat di Plaza Arkadia, Desa Parkcity, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang remaja perempuan berusia 12 tahun bersama rakannya berusia 17 tahun menjadi dalang penganjuran pesta liar dadah di kondominium mewah, baru-baru ini.

Mazlan berkata, dengan pesta liar mereka akan terjebak dengan dadah, minuman keras, seks bebas dan sebagainya.

“Dengan itu, langkah pencegahan perlu dilakukan secara bersama dan berterusan.

“Selain itu, pengawal keselamatan juga yang melihat sekumpulan individu dalam keadaan meragukan perlu segera melaporkan kepada pihak kami,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 8:34 AM