PENDUDUK Kondominium Pelangi berkumpul di luar bangunan selepas merasa gegaran. FOTO ihsan Kalbana Perimbanayangam
PENDUDUK Kondominium Pelangi berkumpul di luar bangunan selepas merasa gegaran. FOTO ihsan Kalbana Perimbanayangam
Maiamalina Mohamed Amin


Kota Bharu: Lebih 100 penduduk Kondominium Pelangi, di sini bergegas keluar ke kawasan selamat selepas mendakwa merasa gegaran dipercayai susulan gempa bumi di Sumatera, Indonesia.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Zaini Bidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu 9.38 malam tadi.

"Kita terima panggilan kecemasan daripada polis memaklumkan ada gegaran pada tiga blok kondominium itu.

"Sebuah jentera dan beberapa anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ismadi Mohamad Taib ke lokasi kejadian dan meminta semua penduduk berkumpul di lokasi selamat.

"Setakat ini tiada gegaran serius mahupun kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Penduduk kondominium itu dibenarkan pulang ke unit masing-masing pada 10.45 malam tadi.

Sementara itu, wartawan New Straits Times, Kalbana Perimbanayangam yang turut menetap di kondominium itu berkata, dia mula merasa gegaran kira-kira 9 malam tadi selama kira-kira dua minit.

"Hanya sedikit sahaja gegaran namun cukup untuk menakutkan kami kerana bangunan ini tinggi dan terletak di tepi sungai.

"Saya kemudian bersama-sama penduduk lain turun dan berkumpul di kawasan selamat di luar bangunan," katanya yang masih belum berani untuk ke rumahnya di tingkat 12.

Kondominium Pelangi mempunyai tiga blok dengan dua blok setinggi 23 tingkat manakala, blok ketiga 15 tingkat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 11:49 PM