Mazlan (tengah) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas polis. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
Mazlan (tengah) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas polis. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
Khairul Najib Asarulah Khan


DUA lelaki dipercayai orang tengah dalam urusan jual beli dadah ditahan polis dalam dua kes pada Khamis dan Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, bagi kes pertama pihaknya menahan remaja lelaki berusia 15 tahun di tepi Jalan Imbi ketika dia menunggu pembeli pada 9.20 malam.

Katanya, hasil pemeriksaan pihaknya menemui methamphetamine 6.2 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM300,000.

“Siasatan lanjut mendapati dia (suspek) dihantar bapa saudara dari Melaka untuk menunggu pelanggan dengan diberi upah RM2,000 untuk menjual dadah terbabit.

“Difahamkan selepas selesai menjual dadah itu dia menghubungi bapa saudara sebelum mereka pulang ke Melaka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Mazlan berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek yang tidak bersekolah itu turut positif methamphetamine.

“Dia yang ditahan reman Jumaat lalu akan dituduh di mahkamah esok,” katanya.

Menurutnya, bagi kes kedua pihaknya menahan lelaki berusia 29 tahun yang berperanan sebagai pengedar dadah di Cheras 6.30 petang Jumaat lalu.

“Hasil soal siasat dan dipandu arah suspek, polis melakukan serbuan di sebuah kondominium di Ampang, Selangor pada 8 malam.

“Pemeriksaan mendapati kondominium itu dijadikan makmal memproses dan membungkus dadah,” katanya.

Mazlan berkata, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah iaitu methamphetamine 22 kg; pil ekstasi 8,100 biji; pil eramin 5 (5,000 biji) serta cecair methamphetamine 6,000 mililiter.

“Keseluruhan dadah itu dianggarkan RM2.245 juta dan boleh dibekalkan kepada 75,310 penagih.

“Kondominium itu dijadikan makmal memproses dadah sejak lima bulan lalu dan kami sedang mengesan beberapa lagi suspek yang terbabit dalam sindiket berkenaan,” katanya.

Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 10:32 PM