PENDUDUK Orang Asli di Pos Pasik, cemas terserempak dengan gajah jantan liar. FOTO Ihsan Pembaca
PENDUDUK Orang Asli di Pos Pasik, cemas terserempak dengan gajah jantan liar. FOTO Ihsan Pembaca
Ramli Ibrahim

PENDUDUK Orang Asli di Pos Pasik, dekat Gua Musang, cemas apabila terserempak dengan seekor gajah liar yang sedang memusnahkan tanaman mereka pagi tadi.

Kejadian 7.20 pagi itu berlaku ketika beberapa penduduk di kebun pisang di tepi sungai kampung itu sebelum terdengar bunyi mencurigakan.

Penghulu Tanpa Mukim Pos Pasik, Salim Chimbong, 43, berkata, gajah jantan itu dipercayai sudah seminggu berkeliaran di kampung berkenaan.

Katanya, haiwan berkenaan dipercayai keluar dari kawasan hutan dan berkeliaran di kampung itu sejak jam 3 pagi lagi sehingga terserempak dengan penduduk.

“Bagaimanapun, gajah itu tidak mengganggu kediaman penduduk sehinggalah ditemui di kawasan kebun pisang sebelum lari merentasi sungai.

“Berikutan itu, pohon pisang, kelapa dan padi bukit musnah. Penduduk di sini bergantung kepada hasil tanaman itu sebagai sumber pendapatan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Penduduk, Hamid Saling, 35, pula berkata, sudah seminggu penduduk tinggal ketakutan apabila beberapa kali terserempak dengan gajah berkenaan.

Katanya, walaupun belum berlaku kejadian tidak diingini termasuk menyerang rumah penduduk tetapi bimbang dengan keselamatan.

“Selagi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) tidak bertindak menghalaunya mungkin lebih kerap masuk kampung itu.

“Kami tinggal dalam keadaan ketakutan kerana bimbang gajah terbabit turut menyerang rumah kediaman hingga mengancam keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah menghantar anggota ke lokasi sejak dua hari lalu untuk melakukan penyiasatan dan memantau perkembangan pergerakan gajah terbabit.

“Memang ada gajah berkeliaran di kampung terbabit, namun anggota masih melakukan pemantauan, mengesan dan menjaga keselamatan penduduk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 11:42 AM