KEADAAN tanaman yang dirosakan gajah liar. FOTO ihsan penduduk
KEADAAN tanaman yang dirosakan gajah liar. FOTO ihsan penduduk
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Lebih 2,000 penduduk Orang Asli di tiga penempatan di daerah ini kini hidup dalam kebimbangan susulan kemunculan gajah liar yang turut memusnahkan kebun tanaman mereka kebelakangan ini.

Kumpulan gajah liar berkenaan dikatakan turut berkeliaran di kawasan perkampungan di Pos Bihai, Pos Belatim dan Pos Gob pada waktu malam untuk mencari makanan.

Dalam kejadian Isnin lalu, penduduk di Pos Bihai dan Pos Belatim mendakwa hasil tanaman mereka dimusnahkan haiwan liar itu.

Penduduk Kampung Chemal, Pos Bihai, Kamal Padek, 43, berkata seramai 27 keluarga kampung itu kini ketakutan susulan kemunculan seekor gajah liar yang merosakkan tanaman mereka dalam kejadian itu.

"Haiwan itu masuk ke kawasan penempatan kami untuk makan ubi kayu yang ditanam berdekatan rumah dan dihalau penduduk kampung.

"Namun pada malamnya haiwan liar itu masuk ke kawasan kebun yang jaraknya hanya 100 meter dari penempatan kami dan memusnahkan tanaman penduduk," katanya.

Seorang lagi penduduk Rahimi Dolah, 45, berkata sudah beberapa kali tanaman mereka dimusnahkan gajah liar sehingga menghadapi masalah sumber makanan.

Katanya, selain masalah sumber makanan yang terjejas penduduk juga kini risau akan keselamatan sekiranya gajah liar itu berkeliaran di kawasan perkampungan mereka.

"Jarak antara kebun dan rumah kami adalah sejauh satu kilometer dan hanya menyedari kejadian kebun diserang gajah pada keesokan harinya kerana kejadian dipercayai berlaku pada waktu malam.

"Selain sumber pendapatan dan makanan terjejas, penduduk juga risau akan keselamatan mereka sekiranya gajah terbabit terus berkeliaran di kawasan kampung yang boleh mengancam nyawa kami," katanya.

Masalah yang sama turut disuarakan penduduk Pos Gob, Nordin Pandak, 54, yang mendakwa haiwan liar itu sudah beberapa kali memusnahkan kebun penduduk.

"Kami tinggal jauh di pedalaman, jalan perhubungan pula rosak teruk jadi untuk mendapatkan sumber makanan sangat susah apabila ubi yang ditanam juga dimakan oleh gajah liar.

"Saya harap pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat mengambil tindakan dengan kadar segera untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata pihak Perhilitan perlu bertindak pantas dalam menangani masalah ini supaya kehidupan Orang Asli kembali normal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 11:23 AM