NATRAH tengah) bersama sukarelawan dan pesakit barah payudara selepas Program Pink Oktober di Dewan Jubli Intan, Segamat. FOTO Ahmad Ismail
NATRAH tengah) bersama sukarelawan dan pesakit barah payudara selepas Program Pink Oktober di Dewan Jubli Intan, Segamat. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


KEMURUNGAN melampau antara punca pesakit barah payudara mengambil masa lama untuk pulih walaupun selepas menjalani rawatan.

Presiden Breast Cancer Support Society Segamat (BCSS) Segamat, Zorrilah Abd Hamid berkata, biasanya pesakit yang baru disahkan menghidap kanser payudara ketakutan sehingga kemurungan.

Katanya, lebih menyedihkan sebahagian besar pesakit tidak menjalani saringan awal disebabkan malu dan kurang pengetahuan.

“Kami faham emosi pesakit kanser terganggu, namun mereka perlu ceria dan kuat kerana kemurungan menyukarkan mereka diubati.

“Semua orang perlu yakin pada diri sendiri kerana masih berpeluang sembuh daripada kanser payudara selepas menjalani pelbagai rawatan di hospital,” katanya pada program Pink Oktober Menangani Kanser Dan Kesejahteraan Hidup di Dewan Jubli Intan di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail.

Zorrilah berkata, BCSS Segamat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terletak di Jalan Sekolah Segamat dan ditubuhkan pada 2005 serta mempunyai 386 keahlian berusia 20-an hingga 60-an.

Katanya, mereka menganjurkan pelbagai aktiviti bagi menceriakan dan menaikkan semangat pesakit melawan kanser.

“Antara aktiviti kami adalah senaman, seni kraf dan program kemasyarakatan. Sebanyak 63 peratus pesakit sembuh sepenuhnya dan sentiasa menyertai aktiviti kemasyarakatan untuk menceriakan hidup mereka.

“Ada pesakit berkongsi pengalaman sebagai pesakit supaya mereka yang menerima rawatan tidak rasa sepi sebaliknya ada rakan yang bersedia membantu mereka menghadapi dugaan,” katanya.

Katanya, BCCS turut mengadakan kempen kesedaran bersama pelbagai pihak bagi memberi kesedaran mengesan penyakit lebih awal serta mendapatkan rawatan segera.

Sementara itu Natrah berkata, 18 peratus pesakit kanser di negeri ini menderita barah payudara.

“Selain pengesanan awal, orang ramai perlu tahu pengambilan makanan yang mengurangkan risiko penyakit itu.

“Keluarga juga perlu memainkan peranan memberikan semangat bagi membantu pesakit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 6:00 AM