ahli TKPR berkumpul di Tawau untuk menjayakan satu acara memupuk kesedaran melawan barah.
ahli TKPR berkumpul di Tawau untuk menjayakan satu acara memupuk kesedaran melawan barah.
Norasikin Daineh

Tawau: Tahap kesedaran mengenai bahaya kanser payudara dan cara mengesan tanda awal penyakit itu masih rendah dalam kalangan wanita di daerah ini.

Paling membimbangkan apabila ada pesakit kanser payudara cuba mendapatkan perkhidmatan rawatan perubatan tradisional iaitu dukun berbanding teknologi moden yang lebih banyak membantu golongan pesakit pulih.

Menyedari hal itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Tawau Kinabalu Pink Ribbon (TKPR) ditubuhkan empat tahun lalu untuk membantu usaha mendidik masyarakat berhubung kanser terbabit yang menjadi antara pembunuh utama wanita.

Ia memberi sokongan dan semangat kepada pesakit kanser payudara dalam menempuh perjalanan mereka sebagai pesakit kanser.

Objektif penubuhannya antara lain memberi kesedaran kepada wanita mengenai bahaya kanser ini sekiranya tidak dikesan lebih awal.

Kini, NGO itu disertai lebih 200 ahli terdiri daripada pesakit atau bekas pesakit kanser payudara dan masyarakat di Tawau.

Manakala lebih 20 pesakit berjaya dibantu membabitkan penggunaan dana untuk rawatan.

Menurut ahli Tawau Kinabalu Pink Ribbon, Kamala Paku, 53, dia menyertai NGO itu pada tahun lalu selepas selesai menjalani pembedahan membuang sel barah di dalam badannya.

“Selepas menyertainya, saya antara ahli yang aktif mengikuti perkembangan dan program dilaksanakan persatuan ini,” katanya.

Kamala berkata, ada banyak aktiviti dilaksanakan terutama memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kanser payudara.

“Antaranya termasuk program sambutan Hari Ibu yang dilakukan pada Mei setiap tahun, Larian Kesedaran Barah Payudara, program rawatan dan pemeriksaan awal kanser payudara.

“Program dilaksanakan turut mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk Hospital Tawau dan pengumpulan dana daripada orang ramai untuk membantu pesakit yang kurang berkemampuan menjalankan rawatan,” katanya.

Katanya, penubuhan persatuan ini penting untuk membantu mereka yang memerlukan terutama penghidap kanser payudara di daerah ini.

“Sejak ditubuhkan, ada ramai pesakit dibantu dan saya turut melakukan perkara sama berkongsi serta memberikan semangat kepada pesakit lain.

“Di Tawau, kaedah rawatan moden masih belum banyak dan pesakit perlu ke Kota Kinabalu atau ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan terbaik berkaitan kanser payudara termasuk ujian mamogram dan radioterapi.

“Saya percaya menerusi sumbangan dana dikumpulkan, kita dapat membantu pesakit dengan menampung kos perjalanan pesakit yang kurang berkemampuan di daerah ini ke tempat rawatan yang mempunyai teknologi berkaitan rawatan kanser payudara,” katanya.

Kamala berkata, golongan muda harus melakukan pemeriksaan sebelum dikesan berada di tahap kritikal.

“Kita mendapati di Tawau masih kurang kesedaran mengenai rawatan awal kanser selain lebih banyak bergantung pada perubatan tradisional termasuk merujuk dukun di kampung.

“Sedangkan kita sekarang mempunyai rawatan canggih yang boleh mengesan dan merawat kanser ini daripada terus merebak sehingga di tahap kritikal,” katanya.

Kamala berkata, pihaknya giat mendekati golongan muda berusia awal 20-an terutama di kawasan pedalaman dan kampung supaya mereka mempunyai kesedaran membuat pemeriksaan awal.

“Ia bagi mencegah sekiranya mempunyai tanda awal kanser payudara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 10:01 AM