ACARA berjalan santai yang mendapat sambutan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ACARA berjalan santai yang mendapat sambutan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hafiz Ithnin


TAHUN lalu dilaporkan barah atau kanser menjadi punca kematian kedua tertinggi di Malaysia.

Pakar juga memaklumkan bahawa sesiapa sahaja berisiko mendapat barah kerana kebanyakan pesakit tidak sedar mereka mempunyai penyakit itu sejak di peringkat awal.

Bagi mereka yang menghidap barah, pastinya sokongan orang di sekeliling amat penting bagi memastikan mereka terus kuat untuk melawannya.

Baru-baru ini, dunia menyambut Hari Kanser Sedunia 2020 dengan tema ‘I Am and I Will.’

Sempena dengan itu Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) di bawah kelolaan jawatankuasa Jabatan Perubatan Nuklear, Radioterapi dan Onkologi menganjurkan program berjalan santai sejauh dua kilometer atau dikenali sebagai Walk for Cancer Survivors 1.0 yang julung kali diadakan.

DR Adam (dua dari kiri) merasmikan program Walk for Cancer Survivors. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DR Adam (dua dari kiri) merasmikan program Walk for Cancer Survivors. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Tujuan utama program itu diadakan untuk meraikan pesakit yang berjaya melawan kanser dan memberi sokongan kepada pesakit yang menjalani rawatan barah.

Timbalan Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr Adam Husein berkata, dianggarkan 700 orang menyertai aktiviti santai itu terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya bekas pesakit barah.

Beliau berkata, program itu yang turut disertai orang awam dapat mendedahkan mereka mengenai kesedaran penyakit barah dan langkah awal yang perlu dilakukan bagi mengelak daripada menghidapinya.

“Pada tahun lalu, statistik barah daripada jabatan kami menunjukkan 828 kes baharu dan 4,000 kes ulangan. Kanser payudara mencatatkan kes tertinggi iaitu 1,097 kes.

“Ia selari dengan statistik Malaysian National Cancer Registry 2012-2016 yang baru dikeluarkan. Barah payudara adalah yang paling banyak dilaporkan iaitu menyumbang 19 peratus atau 21,925 kes daripada keseluruhan kes penyakit berkenaan,” katanya.

Menjelaskannya, Adam berkata, barah payudara antara yang mempunyai peratusan tinggi untuk sembuh jika dapat dikesan dan dirawat dengan awal.

“Peratusan untuk sembuh bergantung kepada tahap barah ketika diagnosis. Peratusan untuk lima tahun umpamanya, ‘survival’ untuk pesakit barah payudara tahap satu boleh mencapai 95 hingga 99 peratus jika mendapat rawatan yang sewajarnya.

AKTIVITI senamrobik yang mendapat perhatian peserta. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AKTIVITI senamrobik yang mendapat perhatian peserta. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

“Malangnya, laporan Malaysian National Cancer Registry menunjukkan 63.7 peratus pesakit mempunyai barah tahap tiga dan empat.

“Semakin tinggi tahap barah, semakin berkurang peratusan untuk melawan dan mengawalnya,” katanya.

Katanya, aktiviti kemasyarakatan dan kempen kesedaran barah perlu dilakukan untuk membantu pengesanan awal penyakit berkenaan dalam kalangan masyarakat.

“Aktiviti berjalan yang diadakan ini juga bertujuan memupuk gaya hidup sihat dalam menyahut cabaran tema kanser sedunia tahun ini iaitu ‘I am and I will’ kerana setiap usaha kita tidak kira kecil atau besar dapat memberi kesan yang besar pencegahan penyakit ini,” katanya yang turut merasmikan program berkenaan.

KANAK-KANAK turut menyertai acara berkenaan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KANAK-KANAK turut menyertai acara berkenaan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Pelbagai aktiviti lain turut diadakan sepanjang program itu berlangsung antaranya senamrobik, pertandingan mewarna kanak-kanak, pameran oleh pegawai dietetik, jualan amal, penyampaian hadiah kepada ‘cancer survivors’ dan cabutan bertuah.

Keuntungan daripada jualan amal turut dimasukkan dalam tabung kebajikan pesakit onkologi Hospital USM untuk membantu pesakit yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 6:30 AM