AMNAH (kiri) dan Noor Mazidah .
AMNAH (kiri) dan Noor Mazidah .
PESERTA menjalani latihan untuk larian amal Pink Love.
PESERTA menjalani latihan untuk larian amal Pink Love.
BEKAS pesakit kanser (dari kiri) Siew Mei Quin,  Noor Mazidah, Penny Chun Kim Foong, Chuah Soo Chen dan Amnah berganding bahu menjayakan larian amal Pink Love.
BEKAS pesakit kanser (dari kiri) Siew Mei Quin, Noor Mazidah, Penny Chun Kim Foong, Chuah Soo Chen dan Amnah berganding bahu menjayakan larian amal Pink Love.
Siti Zarinah Sahib


Kedua-dua wanita ini sangat ceria. Langsung tiada riak kesedihan pada wajah mereka walaupun dulu mereka sama seperti pesakit kanser lain, sukar menerima kenyataan pertama kali disahkan mendapat penyakit itu.

Namun sokongan pelbagai pihak terutama keluarga dan rakan menjadikan kanser bukanlah penamat hayat seseorang seperti yang sering digambarkan dalam drama atau filem.

Pesakit barah juga mampu menjalani kehidupan gembira sama seperti insan lain asalkan sentiasa berfikiran positif, menjalani rawatan disyorkan pakar perubatan dan berada dalam lingkungan mereka yang saling memberikan semangat antara satu sama lain.

Bagi Amnah Salleh, 48, ketika mula disahkan sebagai pesakit kanser payudara dia berusia 37 tahun. Mulanya dia sekadar membuat pemeriksaan sendiri dan mendapati seperti ada ketulan kecil pada payudara kanan. Tanpa berlengah dia terus menjalani pemeriksaan di hospital.

“Doktor melakukan biopsi bagi mengesan kewujudan kanser. Ketika itu saya bersama suami dan alangkah terkejut dan sedih apabila doktor mengesahkan ia kanser namun masih berada pada peringkat awal.

“Saya rasakan diri bagai dilanggar bas. Air mata mengalir laju. Pelbagai rasa yang kurang enak muncul di fikiran. Membayangkan kematian akan menghampiri dan anak yang masih kecil. Saya mengambil masa untuk menerima kenyataan. Apabila semakin tenang barulah saya berjumpa pakar bagi mendapatkan pandangan apa yang perlu dilakukan seterusnya,” katanya memulakan bicara.

Amnah bernasib baik kerana kanser berada pada peringkat pertama. Jadi dia hanya melakukan pembedahan membuang bahagian sel kanser. Namun disebabkan usia yang masih muda dia perlu menjalani kemoterapi.

“Sebelum ini saya hanya membaca menerusi Internet mengenai kesan rawatan kemoterapi. Selepas melalui sendiri barulah saya memahami rawatan ini sangat memeritkan. Selepas dua hari rawatan saya mula hilang selera makan, mulut berasa payau dan pahit sehinggakan untuk minum air kosong juga sangat sukar. Ini menyebabkan saya mendapat ulser.

“Rambut juga gugur sedikit demi sedikit selepas 10 hari kemoterapi. Mulanya saya buat tidak endah saja tetapi melihat bergumpal rambut yang gugur selepas mandi dan sebaik bangun tidur saya mengambil keputusan membotakkan kepala,” katanya yang bertugas sebagai juruukur bahan bertauliah di sebuah syarikat swasta.

Amnah juga mengambil masa untuk berkongsi berita mengenai penyakitnya dengan keluarga dan rakan kerana dia tidak mahu terlalu sedih atau disogokkan dengan pelbagai kata-kata. Mujur keluarga sangat memahami dan memberikan sokongan sepenuhnya.

Suami menjadi peneman setia, menghantar setiap kali Amnah menjalani rawatan. Dia juga sentiasa berada di samping Amnah apabila berada dalam kesedihan malah suami juga menjaga anak-anak yang ketika itu berusia tujuh dan dua tahun.

“Memang saya sangat bersyukur dikurniakan suami yang sentiasa berada di sisi apabila memerlukan, selain keluarga dan rakan yang memberikan nasihat dan sokongan untuk saya melawan kanser ini sepenuhnya,” katanya.

BCWA membantu atasi trauma pesakit

Bertemu rakan dalam kumpulan yang sama ibarat memberikan sinar harapan baru buat Amnah. Dia tidak menafikan kebanyakan pesakit kanser akan tertekan, berasakan diri tidak berguna, sedih yang berpanjangan dan tidak mahu bertemu orang ramai sebaik disahkan menghidap barah.

Namun bagi yang menyertai aktiviti anjuran Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) akan mendapat persepsi berbeza selepas mengikuti sesi luahan rasa dan aktiviti yang dianjurkan.

“Kali pertama mengikuti sesi perkongsian rasa barulah tahu saya tidak keseorangan. Ramai yang senasib malah lebih teruk namun dapat menjalani kehidupan sempurna bersama keluarga. Ada yang mampu bertahan sehingga lima dan 10 tahun malah ada juga sehingga 30 tahun. Cerita mereka memberikan semangat positif kepada saya. Saya perlu kuat demi suami dan anak,” katanya.

Amnah juga mengikuti aktiviti boling dan kemasyarakatan yang memberikan banyak perubahan kepada dirinya. Kanser bukanlah penamat kehidupan sebaliknya ia satu anugerah bagi menjadikan seseorang itu kuat dan tabah. Jangan takut menghadapi kenyataan sebaliknya hadapi dengan ceria dan gembira.

“Paling penting buat pemeriksaan awal dan lalui rawatan sekiranya disahkan sebagai pesakit kanser. Jangan malu bertemu pakar kerana kanser payudara bukan seperti kanser lain yang sukar dikesan. Seseorang itu mampu hidup lebih lama sekiranya positif dan melalui semua rawatan yang disyorkan. Suami pula harus memberikan sokongan tanpa berbelah-bahagi,” katanya.

Bagi Noor Mazidah Abdul Majid, 42, dia langsung tidak menyangka pemeriksaan awal ketika mengikuti pameran kesihatan di pejabat adalah detik permulaan pengesanan kanser payudara. Ketika pemeriksaan didapati terdapat benjolan kecil dan keras pada payudara.

“Sebenarnya suami juga pernah beritahu saya mengenai benjolan ini. Namun saya tidak ambil kisah kerana berasakan tidak mungkin ia kanser. Namun selepas pemeriksaan ini saya mula terfikir-fikir. Hampir dua bulan saya mengambil masa untuk menjalani pemeriksaan di hospital.

“Saya mendapatkan ujian biopsi di sebuah hospital swasta. Walaupun ukuran kanser sangat kecil, ia berada dalam keadaan aktif lantas doktor menyarankan saya jalani pembedahan membuang ketulan dan radioterapi,” kata ibu kepada dua cahaya mata ini.

Namun radioterapi saja tidak mencukupi disebabkan sel barah yang merebak dengan cepat, dia terpaksa menjalani kemoterapi dengan dos yang tinggi. Kesannya Noor Mazidah tidak boleh berjalan, makan dan minum. Rambut juga gugur menyebabkan suami terpaksa membotakkan kepalanya. Pada masa sama dia terpaksa mengendalikan anak kedua yang mempunyai masalah Gangguan Pemusatan Perhatian dan Hiperaktif (ADHD).

“Mujur suami sangat membantu dan sentiasa di sisi ketika saya memerlukan. Walaupun pada zahirnya dia nampak kuat, di belakang, saya tahu dia menangis kerana tidak sanggup melihat saya menanggung bebanan kesakitan seorang diri,” katanya.

Meskipun ada sejarah keluarga yang meninggal dunia disebabkan barah, Noor Mazidah tidak pernah menunjukkan kesedihan di hadapan ibunya. Dia yakin setiap yang berlaku adalah ketentuan Allah dan dia terpilih untuk menghadapinya. Malah tidak terdetik pun rasa kecewa walaupun terpaksa melalui pelbagai dugaan.

Bagi Noor Mazidah, ini peluang kedua agar dia semakin dekat dengan Allah dan jika dia dapat bersabar mungkin ganjarannya lebih besar di akhirat nanti. Kanser menyebabkan hubungannya dengan Allah jadi lebih rapat, dia banyak melakukan solat taubat, hajat dan sunat yang lain.

Ikuti pelbagai aktiviti

Sebagai anak tunggal dalam keluarga, Noor Mazidah mengakui dia tidak mempunyai sesiapa untuk meluahkan masalah dan berkongsi kesedihan selain suami.

“Mujur ada jiran yang juga pesakit kanser, dia menyarankan saya mengunjungi BCWA dan mengikuti program di sana. Selepas mengikuti aktiviti luahan perasan saya dapati jiwa lebih kuat dan kental. Banyak aura positif yang memberikan peluang untuk merasai kehidupan ini sesuatu yang indah. Oleh itu, harus menggunakan sepenuhnya dengan aktiviti yang boleh memberikan manfaat pada diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Menyedari bukan dia seorang yang menjalani kehidupan sebagai pesakit barah, Noor Mazidah bersyukur kerana Allah memberikan peluang kedua kepadanya untuk lebih menghargai apa yang ada sekarang. Ramai pesakit kanser mampu hidup ceria dan bahagia kerana sentiasa berfikiran positif. Malah aktiviti yang diadakan seperti boling menjadikan dia lebih sihat dan tidak memikirkan mengenai penyakit yang dilaluinya.

Wanita aktif lebih rendah risiko

Kanser payudara ialah barah paling umum dialami wanita Malaysia tanpa mengira kaum. Daripada keseluruhan jumlah kanser baru yang disahkan sepanjang tempoh 2003 hingga 2005, didapati 31.1 peratus adalah barah payudara.

Menurut Institut Kanser Kebangsaan Amerika Syarikat, hubungan antara aktiviti fizikal dan serangan kanser dikaji secara meluas, dengan lebih 60 hasil kajian diterbitkan di Amerika Utara, Eropah, Asia dan Australia. Kebanyakan hasil kajian ini menunjukkan wanita yang aktif dari segi fizikal mempunyai risiko kanser payudara lebih rendah berbanding wanita tidak aktif.

Kebanyakan bukti menunjukkan aktiviti fizikal mengurangkan risiko kanser payudara sebelum dan selepas menopaus. Sungguhpun aktiviti senaman lasak secara tetap sepanjang hayat dipercayai dapat memberikan manfaat paling baik, wanita yang menambah aktiviti fizikal mereka selepas putus haid juga boleh mengurangkan risiko berbanding wanita tidak aktif.

Untuk itu, Marysharon bersama Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara (BCWA) menganjurkan larian amal Pink Love buat kali kedua. Larian sejauh lima kilometer ini akan diadakan pada 9 Oktober 2016 di Taman Botani Putrajaya bermula jam 7.30 pagi.

Dengan menyasarkan 3,000 peserta, acara ini bakal memberi peluang kepada orang ramai untuk menyertai kegiatan fizikal menyeronokkan dan bermakna secara aktif, pada masa sama membantu pesakit kanser. Di samping itu, usaha amal ini menggalakkan orang ramai menjaga kesihatan dan memupuk semangat prihatin dan memberi sokongan dalam kalangan masyarakat.

Menurut Pengarah Eksekutif Marysharon Lee Joyce, Marysharon memulakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat bersama BCWA dengan membina masyarakat yang lebih sihat sambil menyemaikan sikap prihatin.

Larian ini satu acara bermakna yang membolehkan semua merasai sinar matahari pagi, menghirup udara segar dan meluangkan sedikit masa berkualiti dengan keluarga tersayang sambil membantu usaha amal. Acara ini bertujuan mengisi tabung BCWA untuk pelbagai program pendidikan dan sokongan pesakit serta membantu usaha masyarakat.

“Larian ini juga menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dengan menyokong acara kesihatan global pada Oktober dan November seperti Bulan Kesihatan Kanser Payudara atau Pink Oktober, Minggu Kesihatan Mental Sedunia dan Hari Diabetes Sedunia selain mengingatkan setiap seorang supaya bersenam bagi menghindarkan penyakit mental dan fizikal,” kata Joyce.

Semua 100 peratus keuntungan daripada acara mengumpul dana ini akan didermakan kepada BCWA. Pendaftaran untuk setiap peserta ialah RM60 yang akan diberi pek pelari dan pingat. Sila kunjungi laman web http://www.myraceonline.com/ untuk maklumat lanjut dan mendaftar.

Presiden BCWA Ranjit Kaur berkata, pihaknya menghargai sumbangan dan sokongan Marysharon untuk membantu misi mengurangkan risiko kematian awal dalam kalangan wanita disebabkan kanser payudara, menambah baik kehidupan pesakit dan memperkasakan semua wanita ramai untuk sentiasa berwaspada mengenai kesihatan payudara mereka.

“BCWA menganjurkan pelbagai aktiviti seperti program mendekati masyarakat dan pendidikan awam termasuk bimbingan pesakit, menggalakkan pengesanan awal kanser payudara dan rawatan awal. Kami juga memberi sokongan psikososial, menganjurkan aktiviti penjagaan sokongan dan mencari manfaat untuk penghidap kanser payudara,” kata Ranjit.

Selain larian, antara aktiviti lain yang boleh disertai ialah pemeriksaan kanser payudara di klinik bergerak MURNI BCWA, paparan peralatan pendidikan kanser payudara, jualan barangan reben merah jambu dan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah daripada Marysharon. Untuk maklumat lanjut, klik https://www.fb.com/pinklovecharity

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 12:20 PM