LEE (dua dari kanan) beramah mesra dengan Dr Zaharah (tengah) sambil diperhatikan bekas pesakit kanser Molly Yap (kiri), Chu San dan Jessy (kanan).
LEE (dua dari kanan) beramah mesra dengan Dr Zaharah (tengah) sambil diperhatikan bekas pesakit kanser Molly Yap (kiri), Chu San dan Jessy (kanan).
Oleh Siti Zarinah Sahib

Disahkan sebagai penghidap kanser payudara pada usia 51 tahun ternyata sesuatu yang sukar buat Presiden Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), Profesor Madya Dr Zaharah Aiyub.

Pembacaan di media mengenai kematian membabitkan pesakit kanser menambah rasa takut, namun dia cepat sedar mengenai ujian Allah serta bersedia menghadapinya.

"Apabila saya menerimanya dengan reda, barulah terasa lapang seluruh jiwa. Saya mula menjalani rawatan yang disyorkan doktor satu persatu iaitu kemoterapi dan radioterapi. Namun, kesan daripada rawatan ini sangat menakutkan. Rambut saya gugur dengan banyak, ulser yang sangat teruk sehingga tidak boleh menjamah makanan. Namun, saya kuatkan semangat kerana jika lemah ia akan mempengaruhi tahap kesihatan," katanya.

Berpengalaman sebagai pesakit kanser sejak tujuh tahun lalu, dia faham perasaan yang dihadapi wanita. Mereka malu untuk menjalani pemeriksaan sama ada di hospital atau di pusat saringan yang diberikan secara percuma oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan.

Amat penting wanita menjalani pemeriksaan awal payudara sekiranya terdapat perubahan pada payudara mereka. Apa yang berlaku, wanita takut dengan pelbagai stigma. Malu, sakit dan takut sekiranya payudara terpaksa dibuang juga pelbagai tang­gapan yang menyebabkan mereka lambat membuat pemeriksaan. Ini menyebabkan apabila berjumpa doktor, kanser mereka berada pada tahap yang sangat teruk. Sudah tentu keadaan ini sukar diselamatkan.

"Ada wanita malu apabila payudara mereka diusik orang lain. Ada juga takut seandainya mereka benar-benar mendapat kanser payudara. Sebenarnya tanggapan dan pemikiran ini harus dibuang demi kesihatan wanita," katanya ketika ditemui di pejabat BCWA baru-baru ini.

Memandangkan penyakit itu bukan sesuatu yang menyakitkan, wanita perlu melakukan pemeriksaan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan.

Keluarga khususnya suami juga perlu memainkan peranan termasuk menasihati anak perempuan atau isteri supaya melakukan pemeriksaan selain memberi sokongan jika mereka disahkan menghidap kanser payudara.

"Walaupun kesedaran wanita semakin meningkat, masih ramai yang mengambil jalan mudah. Bukan semua benjolan itu kanser, mungkin ia penyakit lain. Tetapi mereka harus membuat pemeriksaan jangan dibiarkan," jelasnya yang juga pensyarah Sains Kimia di Universiti Malaya.

Selain itu, Dr Zaharah berkata, Unit Bergerak Membawa Maklumat ke Seluruh Negara (Murni) yang diperkenalkan BCWA pada 2011 bagi membantu masyarakat luar bandar menjalani pemeriksaan dan pengesanan awal kanser payudara kini mendapat sambutan memberangsangkan.

Seramai 372 wanita meng­gunakan perkhidmatan Murni pada 2011 dan jumlah itu melonjak kepada 1,974 orang pada 2013. BCWA juga mempunyai koleksi rambut palsu yang dipinjam­kan kepada pesakit barah payudara yang mengalami masalah botak atau rambut gugur kesan daripada rawatan kemoterapi.

Penyelidikan Institut Kanser Negara, Amerika Syarikat (dengan hasil kajian diterbitkan di Amerika Utara, Eropah, Asia dan Australia) menunjukkan risiko kanser payudara lebih tinggi dalam kalangan wanita yang tidak aktif berbanding wanita aktif. Kajian membuktikan aktiviti fizikal mengurangkan risiko kanser payudara sebelum dan selepas haid atau menopaus.

Beberapa kajian juga menunjukkan kesan aktiviti fizikal berlainan mengikut tahap BMI dan wanita memiliki berat normal mendapat banyak manfaat daripada aktiviti fizikal. Aktiviti fizikal secara sederhana pula selama 30 hingga 60 minit sehari boleh dikaitkan de­ngan penurunan kanser payudara.

Menyedari pentingnya kefahaman dan kesedaran kanser payudara dan menyokong perjuangan menentang kanser payudara, Shills Beauty Sdn Bhd dan BCWA akan besama-sama meng­anjurkan Larian Amal Pink Love pada Ahad 23 November 2014 bertempat di Taman Tasik Titiwangsa.

Larian sejauh lima kilometer ini terbuka untuk orang ramai bagi menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat sekali gus menyokong acara kesihatan global sepanjang Oktober dan November seperti Minggu Kesedaran Kanser Payudara, Pink Oktober, Minggu Kesihatan Mental Sedunia dan Hari Diabetes Sedunia.

Menurut Pengarah Eksekutif Shills Lee Joys, Shills memulakan kerjasama de­ngan BCWA sejak tahun lalu dengan tajaan produk dan sumbangan tunai.

"Tahun ini, kami mengambil pendekatan lebih menyeluruh dan interaktif untuk menggalakkan cara hidup sihat sambil memupuk keprihatinan dalam kalangan masyarakat. Larian amal Pink Love bertujuan membantu mengumpul dana untuk pelbagai usaha pendidikan dan kemasyarakatan BCWA.

"Apa yang menyeronok­kan, semua peserta larian akan berjalan atau berlari secara berpasangan (dengan pasangan, keluarga atau kawan). Setiap peserta diikat dengan pasangan masing-masing menggunakan reben merah jambu dan peserta mesti sampai ke garisan penamat dengan reben masih terikat," jelasnya.

Ikatan reben membawa makna tersendiri. Selain gambaran kanser payudara, ia menunjukkan penting bagi sesiapa saja atau pesakit mempunyai teman di sisi yang dapat memberikan galakan, sokongan dan bantuan sepanjang perjalanan hidup.

Ikatan reben ini tidak membenarkan peserta berjalan atau berlari terlalu pantas atau perlahan. Mereka perlu prihatin dengan keupayaan masing-masing dan saling membantu sepanjang perjalanan. Ini bermakna peserta perlu sensitif dan saling menyokong antara satu sama lain.

Semua keuntungan daripada acara ini disumbangkan 100 peratus kepada BCWA manakala yuran pendaftaran bagi peserta adalah RM40 dan mereka menerima pek pelari. Bagi yang berminat menyertai larian ini boleh menghubungi 03-8062 2743/46 atau laman www.facebook.com/shills.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:01 AM