ZAFRI (kanan) bersama dengan Zawahir  (kiri) menunjukkan air yang dirawat di sekitar Kampung Padang Bukit. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ZAFRI (kanan) bersama dengan Zawahir (kiri) menunjukkan air yang dirawat di sekitar Kampung Padang Bukit. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa

SERAMAI 1,000 penduduk menerima bekalan air bersih menerusi pelaksanaan Projek Bekalan Air Bersih Etiqa di Kampung Padang Bukit, Lubok Stol, Rantau Panjang, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Abd Halim berkata, projek itu adalah tanggungjawab korporat Etiqa untuk komuniti bertujuan membantu meringankan beban penduduk setempat dalam mendapatkan air bersih.

Katanya, lebih 20 tahun penduduk kampung itu hanya bergantung kepada air perigi atau lebih dikenali sebagai ‘air boring’ kerana tidak mempunyai saliran paip air yang sempurna.

“Masalah ini menjadi lebih teruk apabila bekalan air berkurangan dan terputus disebabkan oleh air perigi yang kering berpunca daripada kemarau berpanjangan yang sering berlaku.

“Projek ini membabitkan pembinaan tandak di atas bukit berdekatan, rumah tangki dan penyambungan paip air sejauh tiga kilometer.

“Air yang dikumpul melalui tandak itu akan disalurkan ke tangki utama sebelum ia diterima terus ke rumah penduduk kampung termasuk Masjid Mukim Lubok Stol,” katanya di Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Air Bersih untuk Komuniti di Kampung Padang Bukit yang turut dihadiri Presiden Islamic Aid Malaysia, Zawahir Abdullah.

Etiqa dalam perancangangan menyiapkan lima lagi Projek Bekalan Air Bersih di lokasi-lokasi terpilih bagi tahun ini dan 2020 dengan kos berjumlah RM1 juta.

Zafri berkata, projek itu mengambil masa selama sebulan untuk dilaksanakan secara bergotong-royong membabitkan sukarelawan Islamic Aid Malaysia dan penduduk setempat.

“Kini penduduk kampung dapat menarik nafas lega kerana mereka dapat menikmati bekalan air bersih dan dengan adanya penapis air yang disediakan ia dapat mengurangkan risiko terdedah kepada pencemaran air.

“Kita berharap projek ini dapat membantu meningkatkan mutu kehidupan penduduk selari dengan visi kami menjadikan dunia ini sebuah tempat yang lebih baik.

“Projek ini satu bukti keprihatinan Etiqa dalam meningkatkan mutu kehidupan, sosial dan ekonomi bagi masyarakat yang memerlukan bantuan di bawah program tanggunghawab sosial korporat kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 8:17 PM