XAVIER (dua kanan) melancarkan Projek Air Bersih Etiqa sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Insuranne & Takaful Kamaludin Ahmad (kiri). FOTO Rosdan Wahid
XAVIER (dua kanan) melancarkan Projek Air Bersih Etiqa sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Insuranne & Takaful Kamaludin Ahmad (kiri). FOTO Rosdan Wahid
Iskandar Shah Mohamed


SURUHANJAYA Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan semua jabatan air di seluruh negara diarah menjalankan audit bagi mengenalpasti sistem pengurusan serta kualiti bekalan air kepada pengguna.

Audit itu turut merangkumi masalah pencemaran sungai dan pelan jangka panjang yang bersesuaian bagi memperbaiki perkhidmatan bekalan asas utama berkenaan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata, arahan terbaharu dikeluarkan pihaknya itu bertujuan meneliti sepenuhnya pengurusan bekalan air di setiap negeri.

“Audit itu perlu memfokuskan kepada sistem pengurusan yang dilaksanakan jabatan air negeri masing-masing sama ada meningkat atau sebaliknya.

“Selain itu, kita perlu mengenalpasti masalah berkaitan bekalan air termasuk faktor kapasiti, keperluan pengguna dan pencemaran sungai yang tidak boleh sesekali dipandang remeh.

“Audit itu turut merangkumi pelan atau perancangan bagi menambah baik mutu air negara dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Projek Air Bersih Etiqa di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Insurans dan Takaful Kamaludin Ahmad dan Presiden Islamic Aids Malaysia (IAM) Zawahir Abdullah.

Projek kerjasama Etiqa dan IAM berjumlah RM1 juta itu membabitkan program penyediaan bekalan air bersih kepada penduduk luar bandar di lima lokasi terpilih di Kelantan, Kedah, Selangor, Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Xavier berkata, pihaknya sedang menjalankan kajian berhubung air bawah tanah yang turut boleh dijadikan sebagai sumber bekalan air negara termasuk ketika musim kemarau.

“Kita percaya Malaysia mempunyai banyak sumber itu terutama di kawasan luar bandar yang boleh diterokai kerana faktor kos lebih murah berbanding air biasa.

“Justeru, kita kini bekerjasama dengan Jepun untuk membuat pemetaan 4D (empat dimensi) bagi mengenalpasti sungai bawah tanah di negara ini. Ia juga dapat membantu bekalan air bersih ketika kemarau,” katanya.

Mengulas isu kenaikan tarif air, beliau berkata, pihaknya akan membuat pengumuman rasmi selepas mengemukakannya terlebih dulu kepada Kabinet.

Sementara itu, Kamaludin berkata, pihaknya mensasarkan untuk meneruskan program tangunggjawab korporat (CSR) kali ketiga berkenaan dengan skala lebih besar terutama membabitkan penambahan kos peruntukan.

“Sejak dilaksanakan pada 2017, objektif utama kita mahu membantu kerajaan menyalurkan bekalan air bersih sedia ada kepada komuniti luar bandar.

“Ia merangkumi penambahan pam air, paip dan tangki air di kawasan penempatan berkenaan yang dihuni ribuan penduduk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 6:37 PM