Siraj Mohd Zaini


DUA beradik warga India yang juga suspek utama kes pembunuhan kejam pasangan suami isteri yang disumbat di dalam bagasi di dua lokasi berasingan pada hujung bulan lalu akan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selasa depan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya sudah menerima arahan daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi pertuduhan dua suspek berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 19 dan 25 tahun itu sebelum ini direman selama 14 hari bagi siasatan berhubung kes bunuh berkenaan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan dua beradik berkenaan ditahan polis di sekitar Kota Kemuning dan Subang Jaya pada 29 Ogos lalu.

Difahamkan, mereka adalah penyewa kediaman milik mangsa di sebuah kondominium di Subang Jaya.

Mangsa yang dibunuh pasangan suami isteri Tan Siew Mee, 52, dan Lim Ah Kee@Lim Kok Hoe, 79.

Baharudin berkata, mayat Tan ditemui di dalam longkang Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 27, pada 26 Ogos lalu manakala mayat suaminya ditemui di longkang berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Alam Megah, tiga hari kemudian.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati mayat Tan ditikam sebanyak 13 kali manakala tubuh badan suaminya terdapat tujuh tikaman termasuk kelaran di leher.

Berita berkaitan

Reman dua beradik disambung

'Bunuh suami dulu, lepas tu isteri'

Dibunuh penyewa sendiri?

Tikam 13 kali, kelar dan buang [METROTV]

Sumbat mayat wanita dalam beg

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 3:10 PM