Sarah Zulkifli


DUA beradik lelaki India didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini atas tuduhan membunuh suami isteri yang disumbat di dalam bagasi di dua lokasi berasingan, bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh, Sagar Sharma, 24, dan Shubham Sharma, 19, mengangguk faham selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan dalam Bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka yang dilihat tenang di dalam kandang tertuduh, berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dua beradik yang masing-masing bekerja sebagai pengawal keselamatan itu didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian kepada Lim Ah Kee @ Lim Kok Hoe, 79, dan Tan Siew Mee, 52.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah, Jalan USJ 21/10, Petaling Jaya antara 8 malam 23 Ogos hingga 3.20 pagi, 24 Ogos lalu.

Pertuduhan ke atas mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati.

Pendakwaan kes yang dijalankan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Gerard Lazarus dan Gabriel Susayan.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 November depan sebagai sebutan semula kes dan tiada jaminan diberikan kepada kedua-dua tertuduh.

Harian Metro sebelum ini melaporkan dua beradik berkenaan ditahan polis di sekitar Kota Kemuning dan Subang Jaya pada 29 Ogos lalu.

Difahamkan, mereka adalah penyewa kediaman milik mangsa. Mayat Tan ditemui di dalam longkang Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 27, pada 26 Ogos lalu manakala, mayat suaminya ditemui di longkang berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Alam Megah, tiga hari kemudian.

Hasil bedah siasat mendapati mayat Tan ditikam sebanyak 13 kali manakala tubuh badan suaminya terdapat tujuh tikaman termasuk kelaran di leher.

Berita berkaitan

Reman dua beradik disambung

'Bunuh suami dulu, lepas tu isteri'

Dibunuh penyewa sendiri?

Tikam 13 kali, kelar dan buang [METROTV]

Sumbat mayat wanita dalam beg

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 12:10 PM
DUA beradik bunuh suami isteri didakwa hari ini. FOTO Syarafiq Abd Samad.
DUA beradik bunuh suami isteri didakwa hari ini. FOTO Syarafiq Abd Samad.