Reman dua beradik dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan suami isteri yang disumbat dalam beg pakaian disambung lagi. FOTO Ihsan PDRM
Reman dua beradik dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan suami isteri yang disumbat dalam beg pakaian disambung lagi. FOTO Ihsan PDRM
Siraj Mohd Zaini


DUA beradik warga India yang juga suspek utama kes pembunuhan kejam suami isteri yang disumbat dalam bagasi di Shah Alam, dilanjutkan reman tujuh hari sehingga 12 September ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, tempoh reman dua suspek berusia 19 dan 25 tahun itu tamat hari ini namun polis memohon lanjutan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Menurutnya, pihak polis dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum kertas pertuduhan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Harian Metro 29 Ogos lalu melaporkan dua beradik itu ditahan di sekitar Kota Kemuning dan Subang Jaya.

Sebelum ini, Baharudin berkata, suspek adalah penyewa kediaman milik mangsa di sebuah kondominium di Subang Jaya.

Mangsa yang dibunuh pasangan suami isteri, Tan Siew Mee, 52, dan Lim Ah Kee @ Lim Kok Hoe, 79.

Bedah siasat mayat Tan mendapati mangsa ditikam 13 kali manakala Lim ditikam tujuh kali sebelum kedua-duanya disumbat ke dalam bagasi.

Mayat Tan ditemui di dalam parit berhampiran Persiaran Kuala Selangor pada 6 pagi 24 Ogos lalu.

Mayat Lim kemudian ditemui dalam keadaan sama selepas enam hari dibunuh.

Kedua-dua mayat yang ditempatkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang sudah dituntut saudara-mara pasangan terbabit untuk disemadikan semalam.

Berita berkaitan

'Bunuh suami dulu, lepas tu isteri'

Dibunuh penyewa sendiri?

Tikam 13 kali, kelar dan buang [METROTV]

Sumbat mayat wanita dalam beg

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 3:34 PM