BERNAMA

GURU lemas selepas dihanyutkan arus ketika melakukan aktiviti berakit arus deras di Sungai Jahang, Gopeng, Perak, semalam.

Dalam kejadian pada 7 malam itu, Ahmad Khairudin Ayob, 47, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Limbongan, Melaka, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pasukan Perubatan dari Klinik Kesihatan Gopeng.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, mangsa tiba di kawasan rekreasi itu bersama konvoi berkereta dan bermotosikal membabitkan 19 orang pada 3 petang.

Katanya, seramai 15 orang daripada mereka termasuk mangsa mengikuti aktiviti berakit arus deras yang dikendalikan sebuah syarikat rekreasi di Kampung Jahang, menggunakan tiga bot.

“Mangsa menaiki bot kedua bersama enam yang lain dan berlepas pada 5 petang, namun selepas 10 minit aktiviti tersebut, bot yang dinaiki mangsa terbalik iaitu kira-kira 500 meter dari tempat pelepasan (Kuala Razila).

“Mangsa terus dihanyutkan lebih kurang satu kilometer sebelum dapat diselamatkan oleh kru bot pertama dan seorang kru telah memberi bantuan pernafasan (CPR) tetapi tiada sebarang respons, manakala yang lain selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hasron Nazri berkata, pemeriksaan fizikal ke atas mayat mangsa tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan siasatan mendapati air Sungai Jahang ketika kejadian deras kerana hujan sebelum itu dan aktiviti adalah atas permintaan peserta.

“Langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya seperti jaket keselamatan, topi keledar dan taklimat sebelum memulakan aktiviti telah diambil,” katanya.

Beliau memberitahu mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 9:39 AM