PERALATAN keselamatan dan teknik betul dalam abseiling diterangkan kepada peserta.
PERALATAN keselamatan dan teknik betul dalam abseiling diterangkan kepada peserta.
PESERTA yang menjayakan program.
PESERTA yang menjayakan program.
GELAGAT peserta program Xstreme Sport.
GELAGAT peserta program Xstreme Sport.
PESERTA aktiviti berakit arus deras di Sungai Ulu Geruntum, Gopeng.
PESERTA aktiviti berakit arus deras di Sungai Ulu Geruntum, Gopeng.
Wan Asrudi Wan Hasan


Aliran air terjun yang deras menghempas tubuh pastinya menguji kekuatan fizikal dan mental ketika melakukan aktiviti ‘waterfall abseiling’ di kawasan Air Terjun Ulu Geruntum, Gopeng, Perak.

Berbeza pengalaman dan suasananya dengan melakukan aktiviti abseiling lain kerana kekuatan tangan sangat dituntut untuk menuruni dinding air terjun licin.

Ditambah kelajuan aliran air yang deras pada kedudukan dinding hampir 90 darjah, ia sememangnya cukup mencabar.

Penulis bersama kira-kira 30 peserta mewakili pelbagai wakil media dan peserta jemputan berpeluang menyertai program Xstreme Sport anjuran Kuala Razila Adventure Resort Riverside dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak (KSKMP), baru-baru ini.

Peserta dibawa menaiki lori ke kawasan Air Terjun Ulu Geruntum kerana kedudukannya sekitar 30 minit dari Kuala Razila Adventure Resort Riverside di Ulu Geroh.

Sebaik tiba di kaki kawasan air terjun berkenaan peserta diberikan taklimat berkenaan pemakaian peralatan dan aspek keselamatan. Peserta juga diberi penerangan berkenaan cara memakai peralatan seperti harness, figure of 8, carabiner dan topi keselamatan.

Lima jurulatih bertauliah memantau aktiviti dijalankan pada ketinggian 10 meter itu dan sekurang-kurangnya mengambil masa sekitar lima hingga 10 minit untuk peserta menuruni air terjun.

Bagi peminat aktiviti santai dan sukan lasak pastinya tahu sekitar Gopeng dan Kampar cukup dikenali dengan pelbagai aktiviti antaranya berakit arus deras (white water rafting), water tubing, mendaki dan berkhemah.

Destinasi ini juga boleh menjadi pilihan kepada orang ramai untuk merasai suasana kampung di samping menikmati alam semula jadi jauh daripada kesibukan kotaraya.

Selain ‘waterfall abseiling’ peserta berpeluang menikmati keindahan hutan di kawasan sekitar menerusi aktiviti pendakian ke puncak Bukit Batu Putih tidak jauh dari Kuala Razila Adventure Resort Riverside.

Puncak Bukit Batu Putih sememangnya popular sebagai lokasi melihat pemandangan matahari terbenam yang mengambil masa sekitar 30 minit pendakian dan sesuai bagi mereka penggemar aktiviti merentas hutan secara santai.

Kepuasan terpancar apabila dapat melihat pemandangan indah dari puncak bukit berkenaan.

Tidak lengkap sekiranya kunjungan ke Gopeng tanpa melakukan aktiviti berakit arus deras (white water rafting) di Sungai Ulu Geruntum yang bermula dari perkampungan Ulu Geroh hingga ke Kampung Jahang.

Sebelum menyertai aktiviti berakit peserta terlebih dahulu diberi taklimat berkenaan keselamatan dan pengendalian.

Peserta seramai empat atau lima orang menaiki bot masing-masing di samping seorang ‘guide’ yang memastikan keselamatan dan bertindak sebagai jurupandu bot berkenaan.

Penting bagi memastikan bot bergerak dengan lancar ketika mendayung meredah arus dan jeram, jadi kekuatan fizikal serta kerjasama antara rakan di dalam bot sangat diperlukan.

Aktiviti seperti ini secara tidak langsung mengajar peserta kaedah mengawal perasaan panik sekiranya tercampak ke dalam sungai atau bot terbalik.

Ia juga mengajar erti kerjasama dalam kalangan peserta dalam satu bot untuk memastikan segala halangan boleh diharungi bersama.

Tahap kesukaran berakit arus deras ini juga boleh berubah daripada santai kepada ekstrem mengikut kederasan arus dan perubahan aras air sungai.

Disebabkan itu juga berakit arus deras menjadi aktiviti penuh keseronokan dan keterujaan yang tidak terduga.

Apa yang pasti, setiap halangan, rintangan, keseronokan dan keterujaan yang dirasai adalah kenangan terindah.

Berminat melakukan pelbagai aktiviti menarik ini, layari laman web www.kualarazilaadventureandresort.com untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 11:35 AM