SEPAKAT mengimbangi bot.
SEPAKAT mengimbangi bot.
CERIA selepas selesa misi eksplorasi sungai.
CERIA selepas selesa misi eksplorasi sungai.
KESEMPATAN menikmati pemandangan gua.
KESEMPATAN menikmati pemandangan gua.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Peluang memandu SUV kompak model Titanium EcoSport ketika menyertai kumpulan media bersama kru EcoSport dalam program The Ford Urban Outdoor Exploration satu pengalaman mengujakan.

Menjangkakan perjalanan jauh iaitu hampir 400 kilometer berulang-alik dari Gopeng ke Kuala Lumpur, buat penulis yang julung kali menyertai sesi uji pandu sambil eksplorasi alam hijau di Gua Tempurung, Gopeng, Perak, pasti ia memberi kenangan berbeza daripada aktiviti lasak pernah disertai sebelum ini.

Enam kereta disediakan penganjur membolehkan wakil media silih ganti memandu SUV terbabit. Debaran turut menjengah apabila dimaklumkan jadual sangat padat selain perlu mengekalkan momentum dengan pemandu konvoi lain.

Selain perjalanan jauh, tidak wujud istilah bosan apabila kru Ford Urban menyediakan slot merentasi trek ‘off road’ serta laluan curam ketika menuju ke perhentian seterusnya, Adeline’s Villa bagi aktiviti meredah jeram pula.

Pengurus Komuikasi Malaysia dan Asia Pasifik Ford, Matthew Moran, berkata program dianjurkan sesuai dengan model kereta EcoSport untuk mereka yang mahukan fleksibiliti kenderaan serta gaya hidup aktif.

“Ini adalah kempen berbeza dilancarkan kami di Ford. Selain hanya satu sesi pandu uji ekstrem, kami memberi kesinambungan menerusi menggayakan hidup aktif dalam program kali ini.

“Justeru kami gabungkan pengalaman memandu SVU kompak dengan eksplorasi di luar seperti aktiviti menjelajah gua

dan berakit supaya rakan media dapat menikmati pengalaman menarik.

“Rakan media boleh menguji kemampuan SUV dengan perjalanan jauh serta laluan ‘off road’ menerusi pemanduan lancar dan selesa, selain rekaan dalam lebih luas, termasuk bonet menempatkan barang. Justeru ia sesuai untuk mereka yang mahu ke luar daerah mahupun kawasan kembara tanpa mengetepikan ciri keselesaan ketika memandu,” katanya.

Turut ditemani rakan media, Muhammad Farid Ahmad Tarmiji, 26, dan wakil Ford, Ernest Wee, 34, ketika memandu, pengembaraan lasak ini tambah meriah apabila masing-masing meluahkan keterujaan menyertai aktiviti ekstrem, teroka gua tempurung serta ‘white water rafting’.

Kata Farid, dia berdebar dengan pengalaman aktiviti ‘white water rafting’, namun setelah melalui beberapa siri jeram, dia bertambah selesa dalam bot angin berkenaan.

“Aktiviti menjelajah Gua Tempurung tiada masalah. Penat cuma kena mendaki kerana lokasi dibawa pemandu pelancong, Muhammad Zulzafri Zulhelmi 21, adalah tahap dua. Trek berkenaan kami santai sambil menikmati pelbagai bentuk batu kapur dalam gua. Fasiliti disediakan di gua adalah lengkap, termasuk lampu serta tangga, dan tiada masalah dilalui mereka mahu berkunjung di sini.

“Cuma yang membuat saya sedikit bercampur baur ialah aktiviti water rafting kerana saya tidak pernah menyertai sebarang program seumpamanya. Namun setiap kali berjaya melepasi jeram, saya mula yakin dan rasa aktiviti ini menyeronokkan dan perlu dicuba mereka menyukai sukan lasak,” katanya.

Buat Wee pula, meskipun pernah menyertai aktiviti ‘white water rafting’ di Sungai Padas, Sabah, pengalaman menongkah jeram Sungai Gopeng memberi pengalaman berbeza.

“Penjelajahan Ford kali ini lebih mencabar, maklumlah berturut-turut aktiviti perlu disertai. Selepas jelajah gua, kami perlu mencuba aktiviti berakit air deras.

“Jadi ini menguji ketahanan peserta selain dapat membina jalinan kenalan baru dengan peserta lain. Meskipun tidak mengenali antara sama lain, hubungan kami cepat terjalin dengan pembabitan dalam setiap aktiviti dijalankan,” katanya.

Sementara itu, jurumudi terbabit, Arman Rahim cekap mengendalikan peserta meskipun sebahagian besar tidak arif mendayung arus deras. Dia bijak berseloka serta memberi penerangan dan arahan jelasnya membantu peserta selesa sepanjang melakukan aktiviti air.

Kata Arman, biarpun aktiviti ini lebih kepada sukan rekreasi, langkah keselamatan perlu kerana ia membabitkan isu keselamatan. Setiap pendayung perlu mengenakan pakaian bersesuaian serta asas keselamatan membolehkan risiko kemalangan dijauhi.

“Prosedur asas seperti taklimat keselamatan, teknik asas mendayung serta keyakinan dalam air perlu sebelum melakukan aktiviti mendayung air deras ini. Jurumudi bertauliah serta mahir perlu ada untuk memastikan aspek keselamatan difahami selain kaedah betul untuk melepasi setiap jeram. Pakaian seperti helmet, jaket keselamatan serta tali keselamatan perlu.

“Mengenai teknik mendayung, peserta diberi arahan tertentu untuk membolehkan mereka membantu jurumudi mengendali bot sehingga tiba lokasi akhir. Kurangkan resah mereka menyertai aktiviti ini penting menerusi ‘water confident’.

“Ia diberi sebagai memanaskan badan selain membantu mereka mengatasi ketakutan dalam air. Ini penting kerana di Sungai Gopeng ada 10 jeram yang pelbagai bentuk halangannya dan perlu dilepasi mengikut teknik tertentu,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 5:02 AM