Al-Ishsal meminta orang ramai memberi maklumat berhubung penyebaran video intim terbaharu didakwa mirip menteri. FOTO Luqman Hakim Zubir
Al-Ishsal meminta orang ramai memberi maklumat berhubung penyebaran video intim terbaharu didakwa mirip menteri. FOTO Luqman Hakim Zubir
Siti A’isyah Sukaimi


SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyiasat kewujudan kumpulan aplikasi WhatsApp berhubung penyebaran video intim terbaharu yang didakwa mirip menteri.

Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak berkata, mereka yang dimasukkan ke dalam kumpulan aplikasi WhatsApp itu boleh membuat tangkapan layar ‘screen capture’ individu yang mewujudkan kumpulan berkenaan dan menghantarkannya kepada SKMM.

“Mereka boleh ‘screen capture’ (tangkap layar) individu yang membuat ‘group’ (kumpulan) itu dan hantarkannya kepada talian WhastApp terbaharu SKMM dan ini adalah cara paling pantas.

“Justeru kita akan mulakan proses siasatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya pada sesi taklimat berkenaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di Cyberjaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan media berhubung enam video intim didakwa membabitkan seorang menteri disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Menerusi laporan sebuah portal, video berkenaan disebarkan melalui satu kumpulan pada aplikasi WhatsApp yang ditambah ahli di dalamnya membabitkan pengamal media serta ahli politik.

Dalam pada itu, Al-Ishsal berkata, pihaknya bersandarkan kepada aduan diterima daripada pelbagai pihak.

“Jadi ‘screen capture’ (tangkap layar) imej dan hantar (kepada SKMM) melalui emel atau WhatsApp. Kami akan proses secepat mungkin kerana SKMM mempunyai pasukan yang bekerja 24 jam,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, SKMM juga akan membuat kenyataan lanjut berhubung perkara berkenaan dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 4:20 PM