GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 1.47 juta individu membuat pendaftaran aplikasi mudah alih Gerak Malaysia dengan 503,276 daripadanya memohon mendapatkan permit bagi melakukan perjalanan rentas negeri sejak 25 April lalu sehingga 12.30 tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya turut menerima 13,069 permohonan yang dibuat secara manual di balai polis sehingga semalam.

"Pemohon diminta untuk mengemas kini aplikasi Gerak Malaysia 2.5 yang boleh dicapai pada hari ini untuk pengguna Android, manakala pengguna IOS pula akan dapat capaian aplikasi versi berkenaan pada tengah malam ini.

"Sekiranya pemohon tidak dapat memuat turun aplikasi versi terbaru itu, mereka boleh memohon secara manual di balai polis berhampiran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Al-Ishsal Ishak.

Huzir berkata, terdapat dua kemungkinan orang ramai tidak dapat memuat naik versi terbaru aplikasi berkenaan iaitu disebabkan versi telefon serta rangkaian.

"Bagaimanapun mereka yang berdepan masalah ini mempunyai pilihan selain memohon secara manual iaitu menunjukkan profil yang dibuat pada aplikasi berkenaan sebelum ini.

"Saya akan mengarahkan petugas sekatan jalan raya membenarkan mereka yang berdepan situasi ini memadai sekadar menunjukkan profil pada aplikasi terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 5:51 PM