Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.
Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.
Suraya Roslan


PENGURUSAN dan seluruh kakitangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meletakkan keyakinan tinggi terhadap kemampuan Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek sebagai pengerusi baharu dalam sektor telekomunikasi.

Pengalaman luas beliau memberi kelebihan untuk mengukuhkan peranan dan prestasi suruhanjaya itu.

SKMM dalam satu kenyataan menyambut baik pelantikan Dr Fadhlullah bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini.

"Dr Fadhlullah mengambil alih kepimpinan daripada Al-Ishsal Ishak yang menerajui suruhanjaya sejak 1 Oktober 2018.

"Ini dibuktikan pengalaman selama 20 tahun dalam sektor telekomunikasi dan pernah berkhidmat di SKMM sebagai anggota suruhanjaya serta sebagai Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian, Pemantauan Media Baharu, Pematuhan dan Advokasi. Malah beliau pernah berkhidmat sebagai Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Perdana," kata kenyataan itu.

Menurutnya, pengalaman luas Dr Fadhlullah diyakini meningkatkan prestasi suruhanjaya itu dalam mencapai agenda seperti meningkatkan liputan infrastruktur jalur lebar, kualiti perkhidmatan telekomunikasi talian tetap dan mudah alih, penyiaran, perkhidmatan pos dan kurier, serta persediaan ke arah 5G dan urus tadbir.

"Usaha itu diyakini dapat dilaksanakan beliau bagi memacu industri telekomunikasi dan multimedia negara.

"Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Al-Ishsal atas sumbangan dan perkhidmatan beliau sepanjang tempoh menerajui SKMM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 6:35 PM