GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 1.23 juta individu mendaftar melalui aplikasi mudah alih Gerak Malaysia sejak 25 April sehingga 1 Mei lalu.

Daripada jumlah itu, lebih 503,276 daripadanya memohon untuk mendapatkan permit bagi melakukan perjalanan rentas negeri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, orang ramai diminta untuk mengemaskini maklumat terkini menerusi aplikasi itu bagi melancarkan proses pergerakan rentas negeri.

"Aplikasi ini sudah dinaik taraf ke versi 2.0 bagi membolehkan polis membuat pemantauan terhadap orang ramai yang melakukan perjalanan.

"Bagi mereka yang tidak mempunyai telefon pintar, mereka boleh membuat permohonan secara manual dengan menghantar borang di balai polis berhampiran," katanya pada sidang media di ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu adalah Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Al-Ishsal Ishak.

Huzir berkata, orang ramai di Semenanjung boleh memuat turun borang kebenaran rentas negeri menerusi Facebook dan Twitter rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula hari ini.

"Borang itu perlu dicetak dan diserahkan kepada balai berhampiran untuk mendapatkan kelulusan.

"Bagaimanapun, orang ramai diingatkan supaya membuat temu janji terlebih dulu bagi mengelak kesesakan. Kelulusan akan diberi pada hari sama borang itu diserahkan," katanya.

Sementara itu, Al-Ishsal berkata, orang ramai yang membuat pendaftaran menerusi aplikasi berkenaan perlu memberi kebenaran kepada polis untuk memantau lokasi mereka sepanjang perjalanan itu.

"Dalam proses pendaftaran, pemohon dikehendaki menyatakan persetujuan sama ada mereka bersetuju berkongsi lokasi semasa perjalanan bagi membolehkan pergerakan dipantau.

"Ini sekali gus memudahkan pihak berkuasa kesihatan dan keselamatan melakukan pengesanan kontak rapat berdasarkan butiran berkenaan sekiranya terdapat kes positif Covid-19 dikesan berlaku sepanjang perjalanan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2020 @ 5:46 PM