SEKTOR telekomunikasi berkembang 3.7% kepada RM35.86 bilion pada 2018 berbanding RM34.58 bilion pada tahun se belumnya. FOTO AFP
SEKTOR telekomunikasi berkembang 3.7% kepada RM35.86 bilion pada 2018 berbanding RM34.58 bilion pada tahun se belumnya. FOTO AFP
Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latif

PENINGKATAN jumlah pengguna Internet di Malaysia semakin pesat di mana pada tahun lalu terdapat kira-kira 28.7 juta pengguna berbanding 24.5 juta pada 2016.

Jumlah pengguna Internet di Malaysia hampir menyamai populasi penduduk negara ini mencerminkan ia seakan-akan menjadi perkara asas yang diperlukan semua individu.

Selain individu, Internet memainkan peranan penting dan tersendiri dalam dunia perniagaan seperti sektor korporat yang dilihat begitu penting seiring keperluan dalam segmen e-dagang.

Pada masa sama, syarikat telekomunikasi tempatan juga bersaing sengit dalam memastikan rakyat negara ini dapat menikmati Internet lebih baik dengan memperkenalkan pelbagai tawaran dan pelan data yang unik.

Perkembangan pesat sektor telekomunikasi terutama 5G akan mendorong orang ramai untuk menggunakan Internet dengan kepantasan tinggi dan penggunaan data yang besar.

Namun, ia hanya dapat direalisasikan sekiranya Malaysia dapat menawarkan infrastruktur telekomunikasi yang bersesuaian kerana perkhidmatan 5G memerlukan infrastruktur berbeza dari yang ada ketika ini.

Oleh itu, perlu ada perbelanjaan besar untuk menyediakan perkhidmatan 5G yang mungkin menyebabkan harga tidak dapat ditawarkan dengan rendah pada permulaannya.

Namun dengan peningkatan penggunaan, harga akan menjadi kompetitif kembali.

Bagaimanapun, dalam hal ini sudah tentu pembabitan pihak swasta dianggap penting dalam mempertingkatkan industri telekomunikasi tempatan.

Sebagai peserta industri, mereka perlu memainkan peranan utama seperti berbelanja besar untuk menaik taraf perkhidmatan telekomunikasi yang mereka miliki.

Jadi, penting bagi mereka mendapatkan rakan kongsi sama ada dalam atau luar negeri untuk membiayai kos menaik taraf infrastruktur dan perkhidmatan telekomunikasi mereka.

Sebagai contoh, penggabungan Axiata-Telenor pada jangka masa pendek mungkin tidak akan mengubah harga Internet kepada pengguna.

Namun, sekiranya mereka berjaya mendapat manfaat penggabungan melalui skala ekonomi, tidak mustahil untuk jangka masa sederhana dan panjang, mereka dapat menawarkan harga Internet jauh lebih murah kepada pengguna.

Berdasarkan Laporan Prestasi Industri 2018 yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pendapatan sektor telekomunikasi berkembang 3.7 peratus kepada RM35.86 bilion berbanding RM34.58 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagi membangunkan industri supaya dapat menyediakan perkhidmatan Internet berkualiti pada harga mampu milik, perbelanjaan modal atau capex dari peserta swasta turut dilihat sebagai faktor utama.

Ia untuk memperluaskan liputan rangkaian dan menaik taraf infrastruktur rangkaian sedia ada.

Sektor telekomunikasi bagaimanapun menyaksikan pengurangan sebanyak 13.2 peratus dalam capex kepada RM5.21 bilion pada 2018 berbanding RM6 bilion pada tahun sebelumnya.

Berdasarkan laporan sama, capex turut meningkat kepada paras tertinggi pada 2016 kepada RM6.98 bilion.

Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi melabur lebih daripada RM29 bilion khususnya untuk capex.

Penulis Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 10:00 AM