GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


INDUSTRI Komunikasi dan Multimedia (K&M) Malaysia terbukti mencatat prestasi baik pada 2019 dengan nilai permodalan pasaran keseluruhan mencecah RM144.01 bilion atau 8.4 peratus daripada jumlah permodalan pasaran di Bursa Malaysia.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, jumlah itu membabitkan RM134.01 bilion yang disumbangkan sektor telekomunikasi, sektor penyiaran sebanyak RM7.29 bilion manakala RM2.71 bilion daripada sektor pos dan kurier.

Menurutnya, jumlah itu adalah peningkatan sebanyak RM6.28 bilion atau 4.56 peratus berbanding RM137.73 bilion yang direkodkan pada 2018.

"Statistik ini turut menunjukkan industri K&M menjana hasil sebanyak RM43.37 bilion dengan sektor telekomunikasi menjadi penyumbang terbesar iaitu sebanyak 80.2 peratus atau RM34.8 bilion..

"Sektor penyiaran pula menjadi penyumbang kedua tertinggi iaitu sebanyak 13.6 peratus (RM5.88 bilion) dan diikuti sektor pos dan kurier sebanyak 6.2 peratus (RM2.69 bilion)," katanya sempena Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia yang disambut pada 17 Mei setiap tahun.

Katanya, perbelanjaan modal sektor telekomunikasi bagi 2019 adalah sebanyak RM4.6 bilion dengan RM2.97 bilion digunakan untuk modal perkhidmatan mudah alih manakala RM1.63 bilion untuk modal perkhidmatan tetap.

"Kebanyakkan modal perbelanjaan digunakan untuk menaik taraf rangkaian mudah alih dan gentian optik bagi meningkatkan kapasiti serta kualiti rangkaian, sekali gus membolehkan sektor telekomunikasi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

"Jumlah langganan jalur lebar mencecah 43.38 juta pada 2019 yang membabitkan 2.95 juta langganan jalur lebar tetap - peningkatan 10.9 peratus berbanding 2.26 juta pada tahun sebelumnya," katanya.

Tambahnya, langganan jalur lebar mudah alih pula meningkat sebanyak 9.9 peratus kepada 40.42 juta (36.79 juta pada 2018) dan bagi liputan kawasan berpenduduk pula, liputan teknologi 3G adalah sebanyak 95.5 peratus pada 2019 (94.7 peratus pada 2018).

"Liputan 4G evolusi jangka panjang (LTE) berada di paras 82.2 peratus pada 2019 berbanding 79.7 peratus pada tahun sebelumnya.

"Selain itu, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan kadar penggunaan jalur lebar yang tinggi dan menyedari hakikat itu, kerajaan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat pada 27 Mac lalu menerusi penawaran beberapa pakej khas termasuk 1GB internet percuma setiap hari.

"Dalam pada itu, teknologi 5G yang sedang dilaksanakan juga dijangka mengubah tahap kesalinghubungan dan menjadi pemboleh ubah penting untuk ekonomi negara sekali gus mempengaruhi kehidupan rakyat, perniagaan dan kerajaan secara holistik," katanya.

Sementara itu, Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak berkata, Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) yang disambut setiap 17 Mei sejak 1969, bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran rakyat mengenai potensi yang dicapai melalui penggunaan internet serta teknologi komunikas dan maklumat kepada rakyat dan negara.

"Justeru, sebagai badan kawal selia industri K&M, SKMM komited memastikan masyarakat di negara ini terus berhubung dan berupaya untuk memperoleh faedah daripada kesalinghubungan yang berkualiti tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 4:09 PM