PENGERUSI TM, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob (tengah) bersama Zamzamzairani  (kanan) menunjukkan prestasi kewangan separuh pertama TM sambil disaksikan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan  TM, Datuk Bazlan Osman.
PENGERUSI TM, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob (tengah) bersama Zamzamzairani (kanan) menunjukkan prestasi kewangan separuh pertama TM sambil disaksikan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan TM, Datuk Bazlan Osman.
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur : Telekom Malaysia Bhd (TM) kini sedang rancak membangunkan pelbagai pelan perniagaan yang boleh meningkatkan jumlah pelanggannya menerusi penyertaan dalam pembangunan bandar pintar di negara ini.

Ketika ini, syarikat peneraju konverges negara itu melaksanakan kerjasama dengan sekurang-kurangnya empat syarikat pemaju hartanah bagi tujuan pembangunan bandar pintar di Malaysia antaranya Cyberview, Iskandar Malaysia dan Aspen.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, setakat separuh pertama 2016, syarikatnya mencatatkan 2.37 juta pengguna UniFi dan Streamyx dan menerusi pembangunan bandar pintar itu akan membantu syarikat melonjakkan lagi angka penggunanya pada masa depan.

Beliau berkata, dari segi sumbangan bandar pintar kepada TM tidak boleh dikira mengikut projek, tetapi dinilai menerusi penambahan pengguna yang menggunakan perkhidmatan disediakan syarikatnya secara keseluruhan.

“Dari segi jumlah peruntukan perbelanjaan modal (capex) bagi bandar pintar pula adalah mengikut projek dan ia adalah sebahagian daripada pelan digital syarikat.

“Idea bagi membangunkan bandar pintar ini untuk memberi pengalaman kepada orang ramai menggunakan perkhidmatan digital terutama aktiviti Internet untuk segalanya (IoT) yang semakin berkembang buat masa ini,” katanya pada taklimat media selepas keputusan kewangan TM bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2016 di sini, semalam.

Bagi tempoh kewangan itu, Kumpulan TM mencatatkan pertumbuhan hasil 5.1 peratus kepada RM5.9 bilion berbanding RM5.6 bilion dalam tempoh sama tahun lalu yang dipacu sumbangan hasil daripada perkhidmatan Internet, data, perkhidmatan telekomunikasi serta perkhidmatan bukan berkaitan telekomunikasi.

Zamzamzairani berkata, TM turut menyemak semula perbelanjaan modal (capex) pada tahun ini kepada 30 hingga 35 peratus daripada nilai perolehan berbanding 25 ke 30 peratus yang diperuntukkan sebelum ini berikutan langkah pemasangan perkhidmatan mudah alih yang baru dilancarkannya, webe yang akan dilaksanakan secara agresif pada separuh kedua 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 7:23 AM