GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shahrinnahar Latib


GURU wanita dari Jerantut kerugian RM60,781 selepas diperdaya lelaki yang menawarkan pakej pelancongan murah ke luar negara yang tidak wujud.

Mangsa berusia 34 tahun itu juga terpaksa menggunakan wang sendiri selepas tiket dan hotel yang sepatutnya ditempah untuk 19 peserta pakej itu tidak dibuat lelaki itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula Januari lalu apabila mangsa berkenalan dengan suspek selepas mendapat nombor telefon menerusi kumpulan WhatsApps ‘Geng Buru Tiket Murah’.

“Hasil perbincangan, suspek bersetuju menguruskan trip pelancongan ke Jepun selama lima hari empat malam bermula 23 Disember tahun lalu dengan bayaran RM3,400 seorang.

“Mangsa kemudiannya mencari 19 peserta lain dalam kalangan kenalannya untuk menyertai trip pelancongan ke Jepun itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata, dari 10 Januari hingga 8 Disember lalu, mangsa membuat pembayaran secara berperingkat melalui 11 transaksi ke dua akaun bank milik suspek.

“Pada awal Disember lalu, suspek memaklumkan trip ke Jepun itu dipercepatkan ke tarikh baharu iaitu pada 7 hingga 12 Disember.

“Bagaimanapun, ketika mangsa bersama peserta pakej (pelancongan) itu berada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dia mendapati nombor tempahan penerbangan yang diterima daripada suspek tidak wujud.

“Hasil semakan dibuat mangsa juga mendapati tempahan hotel juga tidak dilakukan suspek.

“Mangsa kemudiannya mengambil risiko dengan mengeluarkan wang sendiri bagi menampung segala urusan semua peserta di Jepun dalam tempoh lima hari berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, suspek memberi pelbagai alasan dan tidak mahu bertanggungjawab terhadap kejadian berkenaan selain menyekat nombor telefon serta akaun Facebook mangsa.

“Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut di sini.

“Siasatan dijalankan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 9:31 AM