GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Shahrinnahar Latib

DUA wanita termasuk bergelar datuk ditahan bagi membantu siasatan kes penipuan pakej umrah berjumlah RM41,800 membabitkan 19 peserta dari Temerloh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, dua wanita masing-masing berusia 33 tahun dan 22 tahun itu ditahan di Persiaran Setia Dagang, Shah Alam, Selangor 7.21 malam tadi.

“Suspek yang berpangkat datuk itu berusia 33 tahun dan dipercayai bertindak sebagai ‘mastermind’ sindiket penipuan pakej umrah tidak wujud ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Wazir berkata, berdasarkan laporan polis yang dibuat salah seorang mangsa, dia ditawarkan pakej umrah pada harga murah oleh sebuah syarikat agensi pelancongan dan ia diuruskan seorang wanita.

“21 November tahun lalu, mangsa ditawar menunaikan umrah dengan syarikat terbabit dan dimaklumkan sebahagian perbelanjaan umrah ditanggung penaja yang berpangkat datuk berjumlah RM5,000 dan peserta hanya membayar RM 2,200 seorang.

“Mangsa memasukkan wang bayaran umrah RM2,200 ke dalam akaun diberikan 27 November lalu dan mengikut ejennya, peserta umrah sepatutnya berlepas 1 Disember lalu namun ditangguhkan.

“Bagaimanapun, pada pertengahan Disember, mangsa diberitahu penerbangan umrah itu ditunda 20 Disember 2018,” katanya.

Mohd Wazir berkata, pada 19 Disember, ejen agensi pelancongan terbabit menyatakan sesiapa yang ingin menarik diri boleh berbuat demikian dan wang akan dikembalikan dalam masa tiga minggu.

“Sehingga hari ini, mangsa mendakwa belum mendapat kembali duit berkenaan dan pada pertengahan Januari lalu, pasport serta gambar dua keping milik mangsa dikembalikan.

“Mangsa dijanjikan mendapat semula wangnya 14 Mac lalu tetapi sehingga kini belum menerima wang itu sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh (IPD),” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh esok untuk proses reman bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 9:39 PM