GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shahrinnahar Latib


HASRAT peniaga untuk memperoleh kontrak penyediaan makanan (katering) membabitkan 700 orang musnah malah menanggung kerugian RM21,000 diperdaya dua individu yang menawarkan kontrak yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 47 tahun berada di kantin sekolah agama di Kuala Tembeling, Jerantut kira-kira jam 11.30 pagi, semalam.

“Mangsa berjumpa wanita yang memperkenalkan diri sebagai Ustazah Maria. Wanita berkenaan memaklumkan mengenai seorang lelaki yang dikenali sebagai Haji Rahman sedang mencari kontraktor penyediaan makanan.

“Ia adalah untuk 700 peserta kursus di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Abdul Razak (PPPTR) dengan kos belanja makan sehari sebanyak RM28,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, untuk tujuan itu, mangsa berurusan dengan Haji Rahman dan mengarahkannya berjumpa seorang lagi suspek wanita lain di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di Jengka, Maran bagi menguruskan kontrak berkenaan.

“Pada 4.15 petang hari sama, mangsa menyerahkan wang tunai RM21,000 untuk mendapatkan kontrak berkenaan,” katanya.

Katanya, selepas menerima wang berkenaan, mangsa diarahkan wanita itu untuk berjumpa kadi di ruangan menunggu dalam pejabat PAID.

“Ketika menunggu kadi, mangsa bertanya kepada staf PAID mengenai kontrak berkenaan namun dimaklumkan bahawa PAID tidak membuat sebarang penawaran penyediaan makanan.

“Mangsa segera keluar mencari suspek wanita berkenaan namun suspek dipercayai sudah melarikan diri. Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Jengka,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis sudah mengambil percakapan mangsa dan akan meneruskan siasatan terperinci termasuk melihat rakaman litar kamera tertutup (CCTV) di PAID untuk mengetahui individu yang menerima wang itu.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 1:29 PM