Aminolhuda (tengah) menyaksikan guru lelaki dan ibu pelajar bersalam selepas isu antara mereka berjaya diselesaikan di PPD Johor Bahru, hari ini. Foto Ihsan JPN Johor
Aminolhuda (tengah) menyaksikan guru lelaki dan ibu pelajar bersalam selepas isu antara mereka berjaya diselesaikan di PPD Johor Bahru, hari ini. Foto Ihsan JPN Johor
Ibrahim Isa


ISU guru lelaki merotan seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun yang mengeluarkan perkataan kurang sopan terhadapnya dan tular di media sosial sejak Selasa lalu, diselesaikan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru, hari ini.

Isu itu berjaya diselesaikan apabila kedua-dua pihak meminta maaf dan laporan polis dibuat ibu pelajar itu ditarik semula.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri Aminolhuda Hassan berkata, pertemuan diadakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor sejajar kenyataan Menteri Pendidikan Malaysia (KPM) Dr Maszlee Malik semalam, yang mahu inisiatif penyelesaian dilakukan secara berterusan.

“Pihak jabatan prihatin dan maklum keresahan guru dan masyarakat amnya untuk sebarang tindakan lanjut secara adil berkaitan insiden di sekolah.

“Bagi memastikan penyelesaian dibuat lebih adil, jabatan tidak seharusnya mengenepikan peraturan-peraturan sedia ada yang berkuat kuasa di samping mengambil kira aspek kebajikan kedua-dua pihak sama ada guru atau pelajar berkenaan.

“Pendekatan perbincangan dan permuafakatan antara pihak terbabit dilaksanakan di peringkat sekolah dan PPD Johor Bahru bagi menangani insiden secara holistik kerana JPN memandang serius insiden membabitkan kredibiliti profesion perguruan dan proses kemenjadian murid itu sendiri sebagaimana hasrat digariskan KPM.

“Kerajaan negeri bersama JPN menggesa semua sekolah di Johor dan warga pendidik sentiasa memahami dan menguasai peraturan sedia ada supaya dapat mengawal tindakan menangani disiplin murid secara tidak beremosi ketika melaksanakan tugas mendidik disamping memantapkan aktiviti berimpak tinggi ke arah kemenjadian murid,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Aminolhuda turut mengucapkan terima kasih kepada PPD Johor Bahru dan pengurusan sekolah kerana pantas mengadakan sesi permuafakatan antara kedua-dua pihak terbabit dalam kejadian itu dan berjaya menarik semula laporan polis yang dibuat ibu mangsa.

Pada masa sama, katanya, kedua-dua pihak termasuk pelajar dan ibunya memohon maaf secara terbuka kepada guru berkenaan, manakala guru berusia lingkungan 30-an itu meminta maaf secara terbuka kepada pelajar dan ibunya.

“Pengurusan sekolah diingatkan sentiasa memastikan kejadian sama tidak berulang dan pada masa sama, polis akan meneruskan siasatan sehingga selesai dalam keadaan harmoni,” katanya.

Menurutnya, guru berkenaan akan menjalani sesi psikologi dan kaunseling di PPD Johor Bahru dan berharap orang ramai tidak memanjangkan isu berkenaan kerana ia sudah ditangani dengan baik.

Selasa lalu, tular di media sosial video berdurasi kira-kira dua minit dan 28 saat apabila seorang wanita dilihat mempersoalkan tindakan guru lelaki selepas didakwa merotan anak perempuannya yang juga pelajar sebuah sekolah menengah.

Guru berkenaan dilihat memberi penjelasan mengenai tindakannya merotan pelajar terbabit, namun dipertikaikan wanita itu sambil menunjukkan kesan birat pada tubuh anaknya dan mendakwa sebagai guru, lelaki berkenaan perlu mendidik anaknya dan bukannya merotan.

Video itu mendapat pelbagai komen netizen yang rata-rata menyokong tindakan guru berkenaan yang terpaksa mengambil langkah tegas dalam kejadian itu.

Berita berkaitan

Guru, murid bertemu esok

Ibu tarik balik laporan polis, tapi...

PPD diarah siasat video tular

Kes panggil cikgu pondan di JB, rupanya!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 5:11 PM