Mohd Sabran Md Sani


JUMLAH kes ponteng yang diperoleh menerusi ‘eRekod Kaunseling Sekolah-Sekolah Negeri Johor’ sejak Januari hingga Jun lalu sebanyak 3,992 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan berkata, daripada jumlah itu sebanyak 298 kes ponteng sudah diselesaikan.

Katanya, usaha menyelesaikan isu ponteng itu turut dibantu Guru Bimbingan Kaunseling Sekolah yang mengadakan sesi bimbingan dan kaunseling kepada murid yang bermasalah.

“Murid yang bermasalah ini sudah menunjukkan perubahan tingkah laku dan tidak mengulangi kesalahan ponteng lagi.

“Selebihnya, masih dalam proses bimbingan dan kaunseling dan dilakukan secara berterusan sehingga akhir tahun persekolahan 2019,” katanya ketika menjawab soalan Abd Taib Abu Bakar (BN-Machap) pada Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di Kota Iskandar hari ini.

Abd Taib ingin mengetahui isu ponteng sekolah di seluruh negeri ini.

Aminolhuda berkata, pihak Jabatan Pendidikan Negeri Johor juga melaksanakan Pelancaran Program Ziarah Cakna Peringkat Negeri/Pejabat Pendidikan Daerah Sekolah-Sekolah di negeri Johor pada 27 Januari lalu.

“Program Ziarah Cakna ini adalah lawatan guru ke rumah murid untuk bertemu dengan ibu bapa atau penjaga bagi bertukar fikiran dalam mengatasi masalah anak-anak mereka.

“Ia juga bertujuan memberikan bantuan sokongan seterusnya mewujudkan hubungan baik dan jaringan kerjasama antara sekolah dan ibu bapa atau penjaga,” katanya.

Beliau berkata, Program Ziarah Cakna ini akan berlangsung sepanjang 2019 ini.

“Program Ziarah Cakna dari Januari hingga Jun 2019 menunjukkan jumlah yang dilawati sebanyak 3,731 keluarga.

“Jumlah murid yang terbabit seramai 4,833 orang dan jumlah guru yang melaksanakan sebanyak 4,638 orang,” katanya.

Katanya, antara langkah lain ialah Pelancaran Program Jom Ke Sekolah Tahun 2019 pada 18 Februari lalu.

“Ia bertujuan menggalakkan murid hadir ke sekolah pada setiap hari persekolahan.

“Dengan cara ini dapat mempertingkatkan usaha pihak sekolah ke arah pembentukan sahsiah dan kemenjadian murid dalam semua lapangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 12:35 PM