LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Mohd Sabran Md Sani


PEJABAT Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru sudah diarahkan menjalankan siasatan berhubung tular video pelajar dirotan guru pada lengan dan paha dalam kejadian di sebuah sekolah menengah kebangsaan (SMK) di Johor Bahru.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, siasatan bagi memberi keadilan kepada kedua-dua pihak iaitu guru dan murid terbabit insiden itu.

Katanya, sudah menerima laporan berhubung seorang guru merotan seorang murid perempuan kerana menegurnya sebagai cikgu pondan.

“Guru itu merotan murid perempuan kerana menegur beliau dengan ayat ‘ah qua lao Shi’ (cikgu pondan) ketika guru berkenaan lalu di koridor tanpa sebab,” katanya dalam kenyataan di sini, sebentar tadi.

Sehubungan itu beliau mengambil maklum akan kejadian ini dan mengarahkan PPD menjalankan siasatan supaya keadilan dapat diberikan kepada kedua-dua pihak.

“Sehingga kini, laporan yang saya terima dari PPD Johor Bahru, siasatan sudah mula

dijalankan.

“PPD juga akan mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa murid berkenaan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan masyarakat di luar menghentikan penularan video dan gambar berkaitan kes ini.

“Ia perlu demi menjaga imej guru dan murid terbabit dan seterusnya memberi ruang kepada PPD Johor Bahru dan pihak terbabit menjalankan tugas menjalankan siasatan sebaik mungkin.

“Dalam masa sama, saya ingin menegaskan sebarang bentuk kekerasan ke atas murid haruslah ditolak sama sekali,” katanya.

Menurutnya, KPM positif perkara ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat, mengikut tatacara dan prosedur operasi standard (SOP).

Berita berkaitan

Kes di JB, rupanya!

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 1:32 PM