Mohd Hilmie Hussin


PERANTAU yang pulang ke kampung diminta mengambil langkah keselamatan lebih ketat dalam perjalanan dengan memastikan sentiasa cergas ketika memandu.

Faktor mengantuk ketika memandu mungkin tidak dapat dielakkan apa lagi dalam kesesakan, namun sebaik rasa mengantuk, pemandu diminta berhenti di tempat selamat seperti hentian Rehat & Rawat (R&R) bagi mengurangkan risiko kemalangan, terutamanya ‘microsleep.’

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, rehat mencukupi amat penting ketika memandu dalam situasi jumlah kenderaan yang tinggi.

“Kawasan R&R biasa menjadi tumpuan pengguna jalan khususnya musim perayaan dan saya nasihatkan dapatkan rehat secukupnya.

“Saya juga ingin mengingatkan semua pengguna lebuhraya dan jalan-jalan utama, lebih berhati-hati ketika berada dalam kawasan R&R bagi mengelakkan risiko kecurian dan pecah kenderaan, serta kecurian di surau kerana ramai yang membawa barang berharga dan duit raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bubur lambuk, beg berserta risalah kepada pengguna jalan raya pada program Op Selamat 15 anjuran dan kempen Rumah Selamat peringkat Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Alor Gajah bersama Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) di R&R Ayer Keroh, arah selatan, di Alor Gajah, semalam.

Kolaborasi program membabitkan pihak PLUS, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) itu menumpukan laluan lebuh raya bermula di Kilometer (KM) 222 hingga KM193.

Sementara itu, A Asmadi berkata, pihaknya menggunakan strategi sama Pasukan Penguatkuasan Trafik Melaka (MTET), di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), dan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) pada Op Selamat 13 (tahun lalu), Op selamat 14 (Tahun Baharu Cina lalu), yang berjaya mengurangkan kemalangan maut apabila hanya tiga kematian dicatat dalam Op Selamat 13 dalam daerah Alor Gajah.

“Walaupun kes kemalangan meningkat daripada 199 kes pada 2017 kepada 224 kes (Op Selamat 11) tahun lalu, kita berharap jumlah ini menurun dengan langkah yang kita jalankan,” katanya, sambil mengesahkan anggota peronda lebuh raya turut ditempatkan dalam situasi berjaga-jaga.

Sementara itu, Pengurus Seksyen PLUS, Zulkifli Abdul Rahim berkata, kemudahan di R&R disediakan cukup lengkap kepada pengguna jalan raya yang singgah untuk berehat dan solat supaya kembali bertenaga sebelum menyambung pemanduan ke destinasi, malah pihaknya menempatkan trak menarik kenderaan di lokasi strategik bagi mengalihkan kenderaan bermasalah, sekali gus mengelakkan kesesakan.

“Kadar trafik di lebuh raya dijangkakan meningkat pada 4 dan 5 Jun, serta selepas raya pada 8 dan 9 Jun kerana sudah ramai yangkembali bekerja. Justeru, saya nasihatkan supaya berhenti di R&R mana-mana supaya dapat berehat selepas berada di lebuh raya dalam tempoh lama,” katanya, yang turut menempatkan pasukan kecemasan (ERT) di sepanjang lebuh raya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 5:46 PM
A Asmadi (kiri) mengagihkan bubur lambuk kepada pengguna lebuh raya di R&R Ayer Keroh arah selatan. FOTO Rasul Azli Samad
A Asmadi (kiri) mengagihkan bubur lambuk kepada pengguna lebuh raya di R&R Ayer Keroh arah selatan. FOTO Rasul Azli Samad