GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Plus Malaysia Berhad (Plus) menjangka dua juta kenderaan sehari akan berada di lebuh raya kendaliannya terutama pada hari puncak sempena musim cuti sekolah, perayaan Krismas dan Tahun Baharu.

Plus dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya membuat persediaan bagi menguruskan peningkatan trafik melalui pelbagai pendekatan untuk membantu pengguna lebuh raya menikmati perjalanan selamat, lancar dan selesa.

"Antara langkah diambil adalah menambah pasukan PLUSRonda untuk mengadakan lebih rondaan di lebuh raya, menghentikan sementara kerja penyelenggaraan jalan sejak Rabu lalu hingga 1 Januari 2024 (pengecualian diberikan kepada kerja kecemasan).

"Selain itu, kira-kira 4,600 kakitangan plaza tol, PLUSRonda, penyelenggaraan, Pusat Pemantauan Trafik dan anggota RELA ditugaskan sepanjang tempoh itu.

"Plus turut menyediakan makluman trafik terkini menerusi My-TTA, paparan papan tanda elektronik lebuh raya, aplikasi Plus, aplikasi X @PLUSTrafik, laman media sosial, Chatbot PUTRI dan stesen radio," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Plus juga mengaktifkan laluan 'SmartLane' di beberapa lokasi kritikal sepanjang lebuh raya kendaliannya bagi membantu menyuraikan trafik yang meningkat.

Katanya, laluan diaktifkan bergantung kepada keadaan semasa adalah Persimpangan Senai Utara hingga Persimpangan Kulai di Kilometer (KM) 19.0 hingga KM27.0 arah utara bermula hari ini dari 8 pagi sehingga 6 petang.

"Persimpangan Port Dickson sehingga Persimpangan Seremban arah utara (KM260.0-KM263.1) mulai esok hingga 25 Disember dan 29 Disember hingga 1 Januari 2024 dari 9 pagi sehingga 10 malam.

"Plus juga bersiap sedia untuk mengaktifkan laluan arah utara di Gua Tempurung hingga Gopeng (KM306.7-KM297.0); Slim River hingga Sungkai (KM366.8-KM354.0) serta Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang hingga Persimpangan Sungai Buaya (KM439.5-KM435.5).

"Namun pelaksanaan itu tertakluk kepada keadaan trafik semasa di lokasi berkenaan," katanya.

Justeru, Plus menasihati orang ramai yang menggunakan lebuh rayanya bermula hari ini sehingga 1 Januari depan supaya merancang perjalanan dengan memilih waktu perjalanan melalui jadual digital My-TTA di aplikasi PLUS sepanjang musim perayaan ini.

Plus turut menasihatkan pengguna lebuh raya supaya memastikan kenderaan dalam keadaan baik, bersedia secara fizikal dan mental untuk perjalanan jauh dan lebih berhati-hati ketika memandu semasa musim hujan.

Pengguna lebuh raya juga digalak berhenti rehat di R&R atau hentian sebelah sebelum menyambung semula perjalanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 5:58 PM