GAMBAR Hiasan. FOTO Ihsan PLUS
GAMBAR Hiasan. FOTO Ihsan PLUS
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) komited memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna berikutan bilangan kenderaan yang dijangka meningkat susulan kelonggaran merentas negeri diberikan oleh kerajaan.

Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS, Syed Mohammed Idid Syed Ahmed Idid berkata, persediaan dibuat sejak pengumuman dilakukan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengenai kebenaran pergerakan rentas negeri membabitkan tujuan tertentu iaitu kerja, perubatan, pendidikan dan kecemasan yang tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.

Menurut Syed Mohammed Idid, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) PLUS akan beroperasi seperti biasa selama 24 jam sehari (tertakluk kepada arahan Pihak Berkuasa Tempatan) dengan seramai 600 usahawan tempatan bersedia memberikan perkhidmatan terbaik di sepanjang perjalanan.

"Terdapat pelbagai pilihan makanan dan minuman yang enak dan menyegarkan disediakan di 29 R&R, 50 hentian sebelah dan restoran jejantas (OBR),

"Ia selari dengan matlamat utama PLUS, 'Kami menjaga pelanggan di sepanjang perjalanan'.

"Jadi, pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk mendapatkan rehat setiap dua jam perjalanan bagi menyegarkan diri, menikmati juadah atau menggunakan kemudahan di R&R kami" katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Peniaga nasi ayam dan mi wantan di Hentian Sebelah Nilai (Arah Selatan) Hew Yen Chen gembira untuk menyediakan hidangan istimewa kepada pengguna yang singgah di premisnya pada Ramadan.

"Kami berasa gembira untuk menyediakan pelanggan lebuh raya dengan hidangan istimewa kami, nasi ayam dan mee wantan yang panas dan menyelerakan untuk dinikmati ketika berbuka puasa," katanya.

Sementara itu, Norhasidah Sahal yang mengusahakan kedai serbaneka di R&RPagoh (Arah Utara) mengalukan kedatangan pengguna lebuh raya ke premisnya sebagai tanda sokongan terhadap perniagaannya yang menjual aneka produk tempatan.

"Terdapat pelbagai jenis kerepek dan makanan tradisional sama ada sebagai buah tangan atau bekalan makanan di sepanjang perjalanan anda," katanya.

Syed Mohammed Idid berkata, pengguna lebuh raya mempunyai pilihan untuk menikmati makanan di ruang medan selera atau membawa pulang makanan dengan menggunakan fungsi Pra-Pesanan yang terdapat di 21 R&R terpilih.

"Anda boleh membuat pesanan lebih awal dengan lebih mudah dan selesa melalui Aplikasi PLUS yang boleh dimuat turun secara percuma bagi mendapatkan maklumat lanjut selain tawaran Pra-Pesanan makanan.

"PLUS sangat memahami keperluan pengguna lebuh raya dan terus memberikan tahap perkhidmatan yang terbaik sambil menyokong pengusaha tempatan kami mengharungi kesan Covid-19.

"Kami bukan saja membantu mempromosi produk pengusaha terbabit kepada pengguna lebuh raya, namun yang lebih penting kami dapat memberikan sokongan dan bantuan supaya mereka dapat meneruskan kelangsungan perniagaan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 1:34 PM