NIK Airina (kanan) bersama pemenang R&R MyDebit “Wave & Menang”.
NIK Airina (kanan) bersama pemenang R&R MyDebit “Wave & Menang”.
Oleh Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Transaksi tanpa tunai menggunakan kad ATM MyDebit di kawasan rehat dan rawat (R&R) PLUS Malaysia Berhad (PLUS) meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh tiga bulan.

Kejayaan itu hasil kerjasama antara PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet).

Ia juga hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk pertandingan bayar dan menang serta usaha promosi bagi menggalakkan rakan niaga di R&R PLUS mendaftar dan mengamalkan pembayaran tanpa tunai.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, kerjasama erat PLUS dan PayNet menyaksikan peningkatan mendadak transaksi tanpa tunai menerusi kad ATM MyDebit di R&R sepanjang lebuh raya PLUS dalam tempoh kempen R&R MyDebit Wave & Menang yang berlangsung pada 1 Disember 2022 sehingga 28 Februari lalu.

"Kempen itu mampu menarik minat dan meningkatkan kesedaran orang ramai dalam membudayakan pembayaran tanpa tunai bagi menyokong aspirasi kerajaan dalam mempromosikan transaksi secara digital di dalam negara.

"Misi kami adalah menghubungkan komuniti untuk mencorakkan masa hadapan selamat dan lestari berteraskan strategi terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) secara menyeluruh.

"Dengan purata lebih 1.7 juta pengguna lebuh raya PLUS setiap hari, inisiatif itu memberi peluang kepada kami menyokong kerajaan dalam mempromosikan kewangan digital dan memperkukuhkan penerimaan pembayaran secara digital dalam kalangan rakyat negara ini," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, lebih 85 peratus gerai beroperasi di R&R sepanjang lebuh raya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dilengkapi terminal pembayaran tanpa tunai yang menerima pembayaran kad MyDebit, kad kredit, Touch 'n Go eWallet, GrabPay, Boost, MAE, ShopeePay dan Setel.

"Ia mencerminkan usaha kolektif dan kerjasama dengan rakan perniagaan ketika kami berusaha memberikan pengalaman pelanggan positif melalui penyediaan perkhidmatan lebih efisien di R&R," katanya.

Terdapat lebih 47 juta kad ATM MyDebit dalam edaran semasa dikeluarkan oleh 22 bank dalam negara, dan lebih 1.7 juta pengguna lebuh raya PLUS setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 1:25 PM