MAJLIS menandatangani MoU antara TNB dan Plus turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah).
MAJLIS menandatangani MoU antara TNB dan Plus turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah).

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkolaborasi bersama Plus Malaysia Berhad (Plus) untuk membolehkan jajaran lebuh rayanya turut menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon seiring dengan komitmen kerajaan menuju pelepasan karbon sifar bersih atau netzero emissions seawal 2050.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama memastikan pengurangan pelepasan karbon di lebuh raya Plus melalui tiga inisiatif kelestarian iaitu membangunkan rangkaian stesen pengecas kenderaan elektrik, pemasangan sistem pemantauan kecekapan tenaga dan pemasangan sistem solar fotovoltaik di bangunan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) terpilih.

Melalui kerjasama itu, rangkaian stesen pengecas kenderaan elektrik akan dipasang di R&R terpilih dan berpotensi tinggi di sepanjang jajaran lebuh raya Plus manakala sistem pemantauan kecekapan tenaga dan sistem solar fotovoltaik akan dipasang pada bumbung bangunan R&R Ayer Keroh (Arah Utara) dan R&R Tapah (Arah Utara) dengan jumlah kapasiti lebih 360 kWp (kilowatt peak).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, TNB akan menyediakan bekalan elektrik berdaya harap dan stabil kepada ekosistem pengecasan EV yang dipersetujui bersama kedua-dua pihak.

"TNB juga menawarkan penyelesaian kepada Plus yang boleh mengoptimumkan kos elektrik dan menyokong sumber tenaga hijau dan mampan dalam mengurangkan pelepasan karbon," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Plus, Datuk Azman Ismail berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi memperbanyakkan lagi rangkaian stesen pengecas kenderaan elektrik bagi memastikan perjalanan pelanggan yang menggunakan kenderaan elektrik lebih lancar, selamat dan selesa khususnya di sepanjang lebuh raya Plus.

"Inisiatif ini mengukuhkan komitmen Plus dalam menerajui industri selaku pengendali lebuh raya yang peka terhadap kelestarian alam sekitar.

"Di samping memastikan tadbir urus yang baik dan komited terhadap keperluan masyarakat, pengurusan alam sekitar juga antara tunjang utama yang memacu perkembangan Plus untuk menjadi Lebuh Raya Pintar Masa Hadapan (Smart Highway of the Future)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 7:10 AM