Keadaan motosikal mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 28.1, Lebuhraya Link Kedua arah utara di Iskandar Puteri, awal pagi ini. FOTO Ihsan polis
Keadaan motosikal mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 28.1, Lebuhraya Link Kedua arah utara di Iskandar Puteri, awal pagi ini. FOTO Ihsan polis
Izlaily Nurul Ain Hussein


SEORANG chef yang bekerja di Singapura maut apabila motosikal ditunggangnya melanggar kereta yang ditinggalkan di lorong kecemasan di Kilometer 28.1, Lebuhraya Link Kedua arah utara di Iskandar Puteri, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, Yip Chee Seng, 53, parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang Kawasaki di lorong kecemasan sebelum melanggar Proton Iswara yang ditinggalkan di lorong itu.

“Mangsa berada di lorong kecemasan dari arah Gelang Patah menghala ke Senai dan melanggar belakang kereta yang ditinggalkan di lorong kecemasan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak dan cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas diperiksa pasukan perubatan,” katanya.

Dzulkhairi berkata, ketika kejadian, cuaca baik, namun lokasi gelap tanpa lampu jalan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 11:49 AM