GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ibrahim Isa


LELAKI warga Nepal maut dilanggar lori pemunggah kontena yang membuat pusingan U di Jalan Utama Dermaga Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor Bahru, pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian 5.22 pagi itu, Gautham Jhamka Prasad, 38, dikatakan melintas jalan di laluan utama dermaga PTP yang ketika itu sibuk dengan kerja pemunggahan kontena.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa tidak menggunakan laluan betul sebelum dilanggar dari sisi kanan lori pemunggah kontena yang membuat pusingan U di tempat kejadian.

Katanya, mangsa parah pada kepala dan badan sebelum disahkan maut di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba untuk memberikan rawatan kecemasan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Besar Kulai menggunakan kenderaan polis untuk bedah siasat.

“Pada masa sama, pegawai penyiasat membawa pulang lori berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri sebelum dihantar ke PUSPAKOM untuk menjalani pemeriksaan lanjut,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Dzulkhairi berkata, tiada saksi bebas tampil untuk memberi keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pejabat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor dalam satu kenyataan berkata, pihaknya maklum dengan kejadian itu dan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Katanya, JKKP Johor mengarahkan lori pemunggah kontena dan operator digantung tugas buat sementara bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan terperinci.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan yang berlaku membabitkan pekerja, orang awam atau harta benda.

“Kes seumpama ini boleh dielak jika majikan melakukan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif, termasuk mengikut kaedah yang dinyatakan dalam garis panduan bagi pengenalpastian bahaya, penaksiran risiko dan kawalan risiko (HIRARC),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 8:18 PM