KEADAAN motosikal ditunggangi mangsa rosak teruk selepas bertembung dengan kereta gara-gara melawan arus di susur keluar Taman Nusa Idaman, Iskandar Puteri menuju ke Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua). FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN motosikal ditunggangi mangsa rosak teruk selepas bertembung dengan kereta gara-gara melawan arus di susur keluar Taman Nusa Idaman, Iskandar Puteri menuju ke Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua). FOTO Ihsan PDRM
Mohd Fahmi Mohd Yusof


LELAKI maut apabila motosikal ditungganginya bertembung dengan kereta ketika melawan arus di susur keluar Taman Nusa Idaman, di Iskandar Puteri menuju ke Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, mangsa maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Katanya, siasatan awal di lokasi kemalangan mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian penunggang motosikal itu yang melawan arus menuruni susur dari arah Taman Nusa Idaman menghala ke Lebuhraya Linkedua.

“Motosikal dinaiki mangsa kemudian bertembung dengan kereta yang datang dari arah bertentangan dan mangsa yang parah di bahagian kepala dan badan disahkan maut di lokasi selepas diperiksa oleh pembantu perubatan.

“Pemandu kereta yang cedera pada bahagian muka dan kepala pula dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah untuk mendapatkan rawatan.

“Manakala mayat penunggang motosikal yang maut itu dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih lagi diteruskan pihaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 12:00 PM