NORAINI Ahmad. FOTO arkib NSTP
NORAINI Ahmad. FOTO arkib NSTP
Hairulazim Mahmud


PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengusulkan cadangan memilih Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang baharu di Dewan Rakyat, hari ini.

Cadangan itu bagi menggantikan Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiande yang kini menganggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Perkara berkenaan terkandung dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dan Usul-Usul hari ini.

“Bahawa Yang Berhormat Datuk Dr Noraini binti Ahmad, Ahli Parlimen Parit Sulong dipilih menggantikan Yang Berhormat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Ahli Parlimen Beluran sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara bagi Parlimen Ke-14,” kata Perdana Menteri.

Keputusan Dr Mahathir mengekalkan Ronald sebelum ini menimbulkan keresahan dalam kalangan komponen Pakatan Harapan (PH) berikutan janji manifesto parti itu yang menetapkan bahawa pengerusi PAC hendaklah dilantik dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang bagi mewujudkan semak dan imbang terhadap eksekutif.

Polemik itu turut mengakibatkan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar meletakkan jawatan sebagai anggota PAC sebagai isyarat protes.

Beliau bagaimanapun sudah menyatakan sedia kembali ke PAC setelah Noraini disahkan akan dilantik menggantikan Ronald.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 10:40 AM