Ronald menyerahkan Laporan Prosiding kepada Noraini selepas dilantik sebagai Pengerusi PAC yang baru. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Ronald menyerahkan Laporan Prosiding kepada Noraini selepas dilantik sebagai Pengerusi PAC yang baru. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Hairulazim Mahmud


JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) kembali diterajui pembangkang apabila Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Dr Noraini Ahmad dipilih sebagai Pengerusi berkuatkuasa hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong ketika mengusulkan cadangan itu berkata, Noraini menggantikan Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiande yang kini menganggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Bahawa Datuk Dr Noraini Ahmad, Ahli Parlimen Parit Sulong dipilih menggantikan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Ahli Parlimen Beluran sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara bagi Parlimen Ke-14,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Usul berkenaan disokong Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Kemudian pada sesi pengundian, majoriti Ahli Parlimen menyokong Noraini sebagai Pengerusi PAC yang baru termasuk penyokong kerajaan dan pembangkang.

Keputusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengekalkan Ronald sebelum ini menimbulkan keresahan dalam kalangan komponen Pakatan Harapan (PH) berikutan janji manifesto parti itu yang menetapkan bahawa Pengerusi PAC hendaklah dilantik dalam kalangan wakil pembangkang bagi mewujudkan semak dan imbang terhadap eksekutif.

Polemik itu turut mengakibatkan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar meletakkan jawatan sebagai anggota PAC sebagai isyarat protes.

Beliau bagaimanapun sudah menyatakan sedia kembali ke PAC selepas Noraini disahkan akan dilantik menggantikan Ronald.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 6:13 PM