ANWAR perlu dibincangkan bersama Perdana Menteri untuk melihat apakah penjelasan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung PAC.
ANWAR perlu dibincangkan bersama Perdana Menteri untuk melihat apakah penjelasan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung PAC.
Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid


JAWATAN Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) perlu dikembalikan kepada pembangkang sebagaimana disebut di dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Ketua Umum PH Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, keputusan itu perlu dibincangkan bersama Perdana Menteri untuk melihat apakah penjelasan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenainya.

“(Pendapat) saya, saya masih terikat (mengikut) dengan manifesto tapi kita dengar penjelasan rasional Perdana Menteri dahulu.

“Kita boleh bincang dan diteliti semula kerana yang (sebab) minta tukar (jawatan) itu kerana manifesto PH itu jelas mengatakan Pengerusi PAC harus dari pembangkang.

“Walau bagaimanapun harus perkara ini kita luruskan melalui perbincangan dengan Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Isu jawatan Pengerusi PAC timbul apabila Pengerusinya Datuk Seri Ronald Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran, menjadi salah seorang daripada wakil rakyat Sabah yang meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Perdana Menteri kemudian dilaporkan berkata, Ronald tidak perlu meletak jawatan sebagai Pengerusi PAC walaupun jawatan itu adalah untuk Ahli Parlimen pembangkang kerana ia tidak membabitkan dasar dalam kerajaan dan sebahagian daripada perlembagaan.

Sebelum ini, pembangkang sebulat suara menamakan Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Noraini Ahmad sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 4:30 PM