DR Mahathir beramah-mesra bersama tetamu yang hadir selepas pelancaran Kempen Sayangi Sawitku di Ladang East, Sime Darby Plantation, Pulau Carey, Kuala Langat hari ini. -Foto Sairen Nafis.
DR Mahathir beramah-mesra bersama tetamu yang hadir selepas pelancaran Kempen Sayangi Sawitku di Ladang East, Sime Darby Plantation, Pulau Carey, Kuala Langat hari ini. -Foto Sairen Nafis.
Siraj Mohd Zaini


KERAJAAN akan meneliti calon bersesuaian bagi mengisi jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sehingga kini Datuk Seri Dr Ronald Kiandee kekal sebagai Pengerusi PAC.

“Ini bukan berkaitan perundangan tetapi janji PH (Pakatan Harapan). Kita boleh buat bila-bila masa (ganti Pengerusi PAC).

“Bukan satu keperluan (ganti Kiandee) bila berlakunya sesuatu pertukaran (parti pembangkang kepada kerajaan),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Sayangi Sawitku di Ladang East Pulau Carey di Kuala Langat, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika mengulas desakan beberapa Ahli Parlimen kerajaan, antaranya Hannah Yeoh (PH-Segambut) dan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) yang mahu jawatan Pengerusi PAC diberi kepada wakil pembangkang.

Isu kedudukan Pengerusi PAC timbul selepas Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran yang pada mulanya diilantik ke jawatan itu atas kapasiti wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), sekali gus menjadi penyokong kerajaan.

Difahamkan, BN mencadangkan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad sebagai Pengerusi PAC yang baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 5:51 PM