DR Mahathir bersama lapan lagi yang sertai BERSATU. FOTO Luqman Hakim Zubir
DR Mahathir bersama lapan lagi yang sertai BERSATU. FOTO Luqman Hakim Zubir
Zanariah Abd Mutalib dan Noor Atiqah Sulaiman


EMPAT Ahli Parlimen, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua senator Sabah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini.

Empat Ahli Parlimen berkenaan yang juga bekas Ahli Parlimen UMNO ialah Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat); Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort); Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran).

Dua ADUN ialah Datuk Seri Hajiji Noor (Sulaman) dan Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), manakala dua senator pula Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin dan Datuk John Ambrose.

Kesemua mereka menerima kad keahlian parti daripada Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepemimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini.

Dr Mahathir berkata, BERSATU menerima banyak permohonan daripada rakyat Sabah untuk menyertai parti itu walaupun BERSATU hanya akan dilancarkan di negeri itu 6 April ini.

Katanya, walaupun BERSATU adalah anggota Pakatan Harapan (PH), namun parti itu tetap memberi sokongan penuh kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) yang menjadi kerajaan negeri itu.

“Kita juga berikan tempat kepada Warisan walaupun parti itu bukan ahli PH. Kita berikan tempat dalam kerajaan iaitu tiga menteri dan dua timbalan menteri.

“Kita menyokong kerajaan yang ditubuh Warisan di Sabah. Itu adalah pendirian keempat-empat parti dalam PH.

“Ini bermakna ahli BERSATU di Sabah akan sokong kerajaan Warisan yang ada. Kita tidak ada niat mengenepikan atau mengganti Warisan,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan kad keahlian BERSATU kepada lapan wakil rakyat Sabah, hari ini.

Ditanya mengenai penyertaan Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa ke dalam BERSATU, Dr Mahathir berkata, pihaknya akan melihat perkara itu terlebih dahulu.

“Beliau perlu menjadi Ahli Parlimen Bebas terlebih dahulu. Kita perlu kaji rekod dan komitmen beliau kepada BERSATU dan PH,” katanya.

Mengenai penyertaan enam lagi ADUN Sabah ke dalam parti itu, Dr Mahathir berkata, mereka akan menyertai BERSATU.

Sementara itu, ditanya sama ada Ronald perlu meletak jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kerana jawatan itu adalah untuk Ahli Parlimen pembangkang, Dr Mahathir berkata, ia tidak perlu kerana tidak membabitkan dasar dalam kerajaan dan sebahagian daripada perlembagaan.

Ditanya mengenai pencalonan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad oleh Barisan Nasional (BN) sebagai Pengerusi PAC, Dr Mahathir berkata, mereka perlu mendapatkan sokongan majoriti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 8:39 PM