DR Maszlee (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada Muhammad Nazmi di Cyberjaya, malam tadi. FOTO MOHD FADLI HAMZAH.
DR Maszlee (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada Muhammad Nazmi di Cyberjaya, malam tadi. FOTO MOHD FADLI HAMZAH.
Mohd Husni Mohd Noor


GURU Bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sukang, Lawas, Sarawak, Muhammad Nazmi Rosli dinobatkan sebagai pemenang pertama Kempen Guru Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) anjuran Kementerian Pendidikan menerusi Unit Pelaksanaan Prestasi Pendidikan (PADU).

Muhammad Nazmi mengalahkan sembilan finalis lain, sekali gus membawa pulang wang tunai RM2,000 dan seunit telefon pintar jenama iPhone.

Hadiah disampaikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di Cyberjaya, malam tadi.

Muhammad Nazmi berkata, dia berharap lebih ramai guru dapat menggunakan pendekatan PAK21 dalam bilik darjah, sekali gus membantu mencungkil potensi sebenar murid.

Beliau mengakui berdepan banyak cabaran dalam melaksanakan kaedah pembelajaran itu, namun ia bukan alasan untuk mengelak pembaharuan dibawa dalam PAK21.

“Saya mengajar murid di kawasan pedalaman dan rata-rata mereka jarang didedahkan dengan dunia luar. Justeru, saya bawa perkara (dunia luar) itu dalam bilik darjah.

“Anak murid saya tidak pernah lihat pantai, justeru saya bawa suasana itu dalam bilik darjah,” katanya.

Katanya, dia berharap guru dapat menjadi ejen perubahan dalam masyarakat dan kaedah PAK21 dilihat mampu meneroka potensi sebenar murid dan pelajar.

Tempat kedua dimenangi guru Sains dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun, Kedah, Norhailmi Abdul Mutalib manakala tempat ketiga dimenangi guru Bahasa Inggeris SMK Pasir Gudang, Johor, Emira Nabila Ramli.

Sementara itu, Dr Maszlee berkata, kempen berkenaan diperkenalkan bagi mencari guru luar biasa yang mengaplikasikan PAK21 ke dalam bilik darjah mereka.

Beliau berkata, sepanjang kempen bermula sejak 20 Disember 2018 hingga 31 Januari lalu itu, lebih 1,000 penyertaan diterima daripada guru di seluruh negara sebelum 10 finalis dipilih.

“PAK21 membantu kementerian mencapai hasrat pendidikan berasaskan nilai dan pendidikan berkualiti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 1:36 AM